Friday, May 7, 2010

ADHD

KECELARUAN HIPERAKTIF DAN KURANG TUMPUAN (ADHD) KAJIAN KES NO.21

Pengenalan

Menurut Sarafino (1996), tingkah laku adalah apa sahaja yang seseorang lakukan sebagai respons ataupun tindak balas kepada apa yang berlaku, sama ada perkara itu berlaku didalam dirinya ataupun di luar. Walau bagaimanapun setiap individu tidak terlepas dari mengalami masalah kecelaruan psikologi dalam menepuh kehidupan seharian. Masalah kecelaruan psikologi yang merangkumi kecelaruan tingkah laku, kecelaruan mental dan kecelaruan personaliti sering berlaku kepada individu. Ia lazimnya akan menggangu perjalanan kehidupan harian individu yang mengalaminya dan individu yang menjaganya. Secara tidak langsung seseorang yang mengalami kecelaruan akan kelihatan janggal atau asing jika dibandingkan dengan anggota masyarakat yang lain di sekelilingnya. Masalah kecelaruan bukan sahaja merujuk kepada orang dewasa, malahan ia turut berlaku di kalangan kanak-kanak. Pelbagai jenis kecelaruan yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak sehingga menggangu tahap perkembangan dan aktiviti harian.
Persoalan yang sering dikemukakan berkaitan dengan kecelaruan yang di alami oleh seseorang individu ialah bagaimanakah kecelaruan ini wujud di kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak? Adakah kecelaruan yang dialami oleh kanak-kanak wujud secara semula jadi semenjak manusia di lahirkan? Secara amnya para pakar psikologi bersetuju bahawa kecelaruan yang berlaku terhadap seseorang tidak wujud secara serta-merta sebaliknya terdapat pelbagai punca yang mengheret seseorang itu kepada kecelaruan tingkah laku sama ada semenjak ia dilahirkan ataupun sewaktu dalam proses pembesarannya.
Terdapat pelbagai jenis kecelaruan tingkah laku, mental dan personaliti yang berlaku terhadap individu yang di diagnostik dalam Manual Diagnostik dan Statistik Kecelaruan Mental (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 4th Edition, Text Revision (DSM-IV-TR). DSM-IV-TR adalah sistem diagnosis yang di terima umum yang digunakan oleh ahli terapi, pekerja kesihatan mental, penyelidik dan kebanyakkan syarikat insurans. Terdapat lebih 290 jenis kecelaruan psikologi dalam DSM-IV-TR yang menghuraikan secara khusus dan menyenaraikan kriteria yang perlu dipenuhi bagi tujuan diagnosis yang tertentu berdasarkan axis-axis yang ditetapkan. Bagi tujuan itu, DSM-IV-TR menetapkan lima axis atau paksi dimana setiap axis akan membuat tumpuan kepada pelbagai jenis maklumat berkaitan kecelaruan psikologi. Penggunaan sistem pelbagai axis juga menggalakkan aplikasi pendekatan biopsikososial dalam setting klinikal, pendidikan dan penyelidikan. Setiap axis dapat dilihat seperti jadual 1.
Jadual 1 : Jadual system pelbagai Axis
Axis I Mengenai sindrom-sindrom klinikal
Axis II Axis ini mengandungi kecelaruan personaliti dan rencat akal.
Axis III Keadaan kesihatan am disebabkan oleh kesan perubatan.
Axis IV Axis ini mengandungi masalah psikososial dan persekitaran.
Axis V Penilaian fungsi-fungsi secara global.

Sorotan Kajian Kes Mr. and Mrs. Wilson. (Kajian Kes No.21)
Mr. dan Mrs. Wilson telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Ken berusia 7 tahun merupakan anak kedua pasangan ini dilaporkan oleh gurunya dia kerap kali menganggu dalam bilik darjah, sering bertindak agresif dan tidak menyiapkan kerja yang diberikan. Ibu bapa Ken melaporkan kepada terapis gangguan yang dialami Ken bermula semasa di taman asuhan.
Terapis kemudiannya menemuduga ibu bapa Ken untuk melihat kelakuan Ken semasa di rumah. Ibu Ken melaporkan beliau mengalami kesukaran ketika hendak melahirkan Ken berbanding adik beradiknya yang lain. Ken juga dilaporkan kerap menangis dan selalu mengadu sakit perut. Ketika Ken meningkat dewasa, Ken sering bertindak agresif dan ganas berbanding adik beradiknya yang lain. Apabila dia dimarahi ibunya, Ken akan bertindak membuang barang-barang yang berdekatan dengannya, memecahkan barang-barang dan akan menjerit sekuat hati. Selain itu hubungan Ken dengan adik beradiknya yang lain kurang mesra.
Ibu bapa Ken menyifatkan kelakuan Ken sama dengan kelakuan anak jirannya. Ken juga tidak boleh menumpukan perhatian dalam sesuatu perkara dan adalah mustahil ibu bapa Ken membawa Ken keluar makan bersama. Semasa terapi bersama pihak sekolah, Ken dilaporkan menghadapi masalah disiplin dan mempunyai mood tidak baik, suka menganggu rakan-rakannya dan sering bertindak agresif. Ujian IQ telah dilakukan untuk melihat tahap kebijaksanaan Ken. Walaupun tahap IQ Ken berada pada paras 120, namun dia tidak dapat membaca dengan baik dan lemah dalam subjek matematik. Hasil temubual terapis dengan guru kelas Ken, didapati Ken tidak suka duduk diam dalam kelas, tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan mempunyai hubungan yang tidak baik dengan rakan-rakannya. Guru Ken turut menggunakan pelbagai kaedah untuk mendisiplinkan Ken. Guru Ken juga menggunakan soal selidik Conner Rating Scale untuk melihat tingkah laku Ken (Hiperaktif).
Ahli terapis turut bersama Ken didalam kelas dan mendapati Ken akan bangun dari tempat duduknya melebihi enam kali dan melihat ke luar tingkap apabila mendengar bunyi. Ken sering bercakap dengan rakan-rakannya dan tidak menumpukan perhatian pada pembelajaran. Apabila guru menegurnya, Ken tidak ambil kisah sehinggalah gurunya terpaksa menjerit dan memarahinya.
Sesi kedua terapi bersama keluarganya mendapati sikap Ken bermula dari kecil lagi. Ken akan marah jika kehendaknya tidak dituruti dan kerap melakukan perkara berbahaya seperti memanjat bilik tidurnya dan . Ken juga didapati tidak mempunyai kawan yang rapat dengannya. Hasil temubual berama Puan Wilson, mendapati pasangan ini mempunyai masalah dalam perkahwinan dan Puan Wilson juga sering menggunakan hukuman secara fizikal untuk menagani masalah Ken kerana khuatir Ken tidak akan berubah sikap apabila dewasa kelak. Temubual bersama En. Wilson mendapati beliau juga mengalami masalah sama seperti Ken semasa kecil dan berubah apabila meningkat dewasa. Jadi En. Wilson mengharapkan Ken akan berubah apabila meningkat dewasa kelak.
Terapis seterusnya ialah untuk melihat hubungan Ken dengan adik beradiknya. Didapati Ken dan adik beradiknya sering merebut barang permainan. Ken juga sering merosakkan barang permainan dan akan menipu ibunya jika adiknya mengadu kepada emaknya. Semasa makan malam juga Ken sering menggangu adiknya, lebih-lebih lagi apabila ayah ada di rumah.

Kes Ken Berdasarkan DSM-IV-TR dalam Skala Global Assessment of Functioning (GAF)
Manual Diagnostik dan Statistik Kecelaruan Mental atau DSM-IV-TR merupakan suatu buku panduan terbitan Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 1994 memberi keupayaan mendiagnosis secara manual sesuatu kecelaruan mental yang dialami oleh seseorang individu. Terdapat kriteria-kriteria umum dalam DSM-IV-TR yang menbolehkan ahli terapis mendiagnoksis jenis kecelaruan yang dialami oleh klien-klien yang datang mendapatkan rawatan. Selain itu, bagi memudahkan ahli terapis membuat penilaian menyeluruh dan memberi rawatan kepada kliennya, DSM-IV-TR menetapkan lima penilaian pelbagai axis.
Axis I= Kecelaruan klinikal. Berdasarkan terapis yang dilakukan terhadap kes Ken menunjukkan Ken boleh didiagnoksiskan sebagai kanak-kanak yang mengalami gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan atau attention deficit hyperactivity disorder (ADHD). Mengikut DSM-IV (APA,1994), untuk melayakkan seseorang individu didiagnos sebagai ADHD, simptom tersebut mesti wujud sebelum umur tujuh tahun dan diperlihatkan dalam sekurang-kurangnya dua seting (misalnya di rumah, sekolah dan sebagainya). Namun menurut Sciutto, Terjesen dan Frank (2000), diagnosis ADHD yang tepat kerapkali menjadi rumit kerana banyak masalah yang berkaitan dengan ADHD juga merupakan ciri kecelaruan kelakuan kanak-kanak yang lain dan ADHD selalunya diiringi dengan pelbagai kecelaruan perkembangan dan psikiatri yang lain. Selain itu, kanak-kanak yang mengalami ADHD terdiri daripada populasi pelbagai yang simptomnya berbeza antara seting, pengasuh, dan kerumitan tugasan. Berdasarkan kajian kes yang dilakukan menunjukkan Ken yang berusia 7 tahun mengalami sindrom-sindrom seperti suka menggangu rakan-rakannya di sekolah dan menggangu adiknya semasa berada di rumah.

Axis II= Kecelaruan personaliti. Berdasarkan kajian kes, didapati Ken tidak mengalami masalah kecelaruan personaliti seperti simptom personlaiti maladaptive dan kerencatan akal.

Axis III= Keadaan kesihatan am disebabkan oleh kesan perubatan. Kewujudan axis ini membolehkan laporan tentang keadaan kesihatan atau fizikal yang mungkin releven kepada pemahaman atau pengurusan kecelaruan mental seseorang. Berdasarkan kajian kes, didapati Ken tidak pernah mengambil atau diberi rawatan perubatan yang boleh menyebabkan Ken mengalami gangguan.

Axis IV= Axis yang melibatkan masalah psikososial dan persekitaran. Masalah psikososial dan persekitaran mungkin boleh terdiri daripada peristiwa negatif dalam hidup, masalah persekitaran, tekanan keluarga atau hubungan interpersonal dan kekurangan sokongan sosial atau sumber peribadi. Masalah ini dikategorikan kepada sembilan kumpulan sokongan primer, masalah berkaitan dengan persekitaran sosial, masalah pendidikan, masalah pekerjaan, masalah perumahan, masalah ekonomi, masalah berkaitan dengan kemudahan kesihatan masalah berkaitan dengan interaksi sistem perundangan atau jenayah dan masalah psikososial dan persekitaran yang lain. Berdasarkan kajian kes, didapati Ken turut mengalami masalah psikososial dan persekitaran dimana Ken tidak mempunyai kawan karib kerana sikapnya yang suka menggangu kawan-kawannya. Ken juga mengalami masalah pendidikan dimana Ken tidak boleh membaca dengan baik dan lemah dalam subjek matematik walaupun Ken mempunyai tahap IQ yang tinggi iaitu pada tahap 120. Selain itu, hubungan Ken dengan adik-beradiknya juga renggan dan ibunya juga sering mengenakan hukuman fizikal bagi menghukum tingkah laku Ken. Semasa di sekolah juga, guru Ken memarahi Ken apabila dia tidak memberi tumpuan dalam kelas. Keadaan Ken semakin menjadi-jadi apabila ayahnya hanya membiarkan sahaja tingkah laku Ken kerana beranggapan Ken akan berubah apabila deasa kelak.
Axis V= Axis ini adalah untuk melaporkan pendirian ahli klinikal terhadap tahap kebolehfungsian seseorang secara menyeluruh. Maklumat ini penting untuk merancang rawatan dan mengukur kesannya dan untuk menjangkakan keputusan atau hasilnya. Berdasarkan kajian kes diatas menunjukkan tahap kebolehfungsian Ken berada pada tahap 80-100 dimana pada tahap klinikal ini, gangguan yang dialami oleh Ken tidak berada pada tahap yang berbahaya dimana orang yang terdekat dengan Ken terutamanya ibu bapa dan guru Ken boleh mengubah Ken dengan mengajar dan menegur setiap kesalahan yang dilakukan Ken tanpa memberi rawatan perubatan yang boleh mengakibatkan masalah lain kepada Ken.

Takrif ADHD
Ganguan hiperaktif dan kurang tumpuan atau attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) merupakan salah satu kecelaruan psikiatri yang paling umum di kalangan kanak-kanak (Barkley, 1990). Ia merujuk kepada suatu kecelaruan perkembangan yang berlaku ketika zaman kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri seperti kurang tumpuan, keadaan hiperaktif-impulsive yang lebih kerap dan teruk berbanding dengan keadaan yang biasa diperhatikan pada individu di peringkat perkembangan yang normal.
Gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan atau ADHD berlaku dengan begitu ketara pada sesetengah kanak-kanak terutamanya pada waktu prasekolah atau tadika dan murid-murid sekolah rendah. Gejala ini menyebabkan kanak-kanak yang mengalaminya sukar mengawal tingkah laku mereka atau memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Satu kajian menunjukkan terdapat antara 3% hingga 5% kanak-kanak menghidap ADHD atau sekitar 2 juta orang kanak-kanak di Amerika Syarikat. Ini bermakna, di dalam sebuah kelas yang mengandungi 25 atau 30 orang murid, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka menghidap ADHD. Menurut Sir George F. Still (1902), ADHD disebabkan oleh disfungsi genetik bukannya oleh asuhan yang lemah.
Gangguan ADHD menjurus kepada aspek pemikiran, kelakuan, kebiasaan dan tindakan sama ada dalam keadaan stabil atau tidak. Horrocks dan Jackson (1972) menjelaskan bahawa sesuatu tingkah laku atau perbuatan devian yang berlaku dalam keadaan yang agak tetap (trait) dianggap sebagai mengalami kecelaruan
Gangguan hiperaktif atau ADHD melibatkan tiga jenis keupayaan iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan menurut kata hati. Ketiga-tiga keupayaan ini biasanya saling berkaitan antara satu sama lain. Satu kajian ke atas kanak-kanak Malaysia berumur di antara 5 – 15 tahun menunjukkan seramai 4.3% mempunyai ciri-ciri ADHD. Kebanyakkannya dihidapi oleh kanak-kanak-kanak lelaki. Tiada punca utama di temui walaupun faktor genetik dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak mungkin menyumbang kepada terjadinya masalah ini.
Semenjak itu, kecelaruan ini dikenali dengan pelbagai nama termasuk minimal brain dysfunction, hyperkinetic reaction of childhood, attention deficit disorder dan terkini attention hyperactivity disorder. Terdapat banyak kajian saintifik berkaitan kecelaruan ini sudah dihasilkan bagi memberi maklumat berkaitan tabiatnya, faktor-faktor kecelaruan ini, dan kaedah rawatan bagi membantu ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami kecelaruan ini.

Simptom dan Kategori ADHD
Kanak-kanak ADHD biasanya mengalami kurang tumpuan seperti gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta sering membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain. Kanak-kanak ini juga selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugasan serta kerap mengalami masalah mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti harian mereka. Hal ini bukan sahaja menggangu aktiviti harian mereka malahan turut menggangu aktiviti harian penjaga mereka kerana mereka terpaksa mengawal tindakan kanak-kanak ini. Selain itu, kanak-kanak yang mengalami masalah kecelaruan ini juga sering bertingkah laku kerap mengelak, tidak suka atau keberatan melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama seperti kerja sekolah atau kerja rumah.
Gangguan ADHD boleh dikategorikan kepada tiga kategori iaitu:
i) Kurang tumpuan dimana kanak-kanak yang mengalami simptom ini sering kali menunjukkan tingkah laku yang negatif seperti melakukan banyak kesilapan didalam kerja sekolah, tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dan mudah lupa. Hal ini turut berlaku kepada Ken dimana gurunya sering melaporkan Ken tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya. Selain itu simptom yang sering dikaitkan dengan kurang tumpuan ialah kanak-kanak ini tidak akan memberikan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya dan sering kehilangan barang di sekolah dan di rumah. Kanak-kanak ini juga mengalami masalah untuk mengatur tugasan hariannya. Keadaan ini turut berlaku dimana Ken tidak memberi tumpuan semasa gurunya mengajar dan tidak kisah apabila dia dimarahi oleh ibunya. Dia juga sering merosakkan barang permainannya apabila keinginannya tidak dipenuhi.
ii) Hiperaktif dimana kanak-kanak yang mengalami simptom ini menunjukkan tindakan-tindakan atau perlakuan seperti menggoyang-goyangkan tangan dan kakinya serta mengeliat dan resah di tempat duduknya. Semasa berada di dalam kelas, kanak-kanak ini sering kali meninggalkan tempat duduknya dengan bergerak ke sana ke mari (tidak duduk diam) walaupun ketika itu guru berada di dalam kelas. Kanak-kanak ini juga suka membuat bising dan berlari-lari dan memanjat-manjat dengan berlebihan (lebih dari kanak-kanak biasa) semasa bermain. Kanak-kanak ini turut dikatakan banyak bercakap sehingga terkeluar air liur semasa bercakap. Hal ini turut berlaku kepada Ken dimana Ken dilaporkan sering menjerit dan membuang barang-barang yang berdekatan dengannya dan turut bertindak aggresif. Semasa di dalam kelas juga, Ken akan bangun dari tempat duduknya melebihi enam kali dan melihat ke luar tingkap apabila mendengar bunyi. Ken sering bercakap dengan rakan-rakannya dan tidak menumpukan perhatian pada pembelajaran.
iii) Menurut kata hati (impulsive) iaitu kanak-kanak yang mengalami sindrom ini sering kali bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu. Ini termasuklah menjawab secara spontan walaupun soalan yang diajukan belum habis ditanya dan jawapan yang diberikannya tidak berketepatan dengan soalan yang ditanya. Selain itu kanak-kanak ini sering kali menggangu kanak-kanak lain semasa mereka bermain atau bercakap. Hal ini turut berlaku kepada Ken dimana Ken sentiasa menggangu kawan-kawannya di dalam kelas. Ken juga suka menggangu adiknya ketika makan dan sentiasa melawan cakap ibunya. Ken juga tidak suka menurut arahan yang diberikan kepadanya iaitu dia tidak menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya dan sering bertindak berbahaya iaitu dia akan memanjat tingkap bilik tidurnya dan berlumba menuruni bukit dengan menggunakan basikal. Sikap beraninya itu sengaja ditunjukkan supaya dia akan mendapat perhatian yang lebih dari rakan-rakan dan jirannya
Berdasarkan kes yang dialami oleh Ken iaitu anak kepada pasangan Wilson, ken mempunyai ketiga-tiga tanda-tanda atau simptom ADHD seperti yang disebutkan diatas.
Faktor-Faktor Penyebab ADHD

Antara faktor penyebab yang boleh dikaitkan dengan pelakuan hiperaktif ialah seperti hubungan antara amalan merokok dan pengambilan alkohol semasa ibu mengandung dengan risiko mendapat ADHD bagi bayi yang dikandung itu. Agen persekitaran lain pula yang boleh dihubungkaitkan dengan risiko yang tinggi memperolehi ADHD adalah paras kandungan plumbum yang tinggi di dalam tubuh badan kanak-kanak prasekolah. Kanak-kanak yang tinggal di bangunan lama, yang mana kandungan plumbum yang wujud di dalam cat ataupun paip air, lebih bersiko mengalami gangguan ini. Selain itu, terdapat kajian lain pula, kanak-kanak yang sensitif dengan pengambilan gula diberikan aspartame sebagai ganti kepada gula. Ibu-ibu yang merasakan bahawa anak mereka mengambil gula telah melabelkan mereka sebagai lebih hiperaktif dan lebih kritikal tingkah lakunya berbanding dengan kanak-kanak lain (Hoover & Milich, 1994)
Berdasarkan teori awalan, gangguan kurang tumpuan adalah disebabkan oleh kecerderaan otak. Kanak-kanak yang mengalami kecerderaan otak diseababkan kemalangan boleh menunjukkan simptom-simptom yang sama penghidap ADHD. Namun demikian, hanya sedikit sahaja peratusan kanak-kanak penghidap ADHD yang mengalami trauma kecederaan otak. Selain itu, para penkaji mengatakan bahawa kecelaruan kurang tumpuan disesbabkan makanan yang mengandungi perasa dan pengawet serta gula yang diproses semula. Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat mengadakan satu persidangan saintifik bagi membincangkan isu ini pada tahun 1982. Dalam persidangan tersebut, dimaklumkan bahawa diet yang ketat membantu 5% kanak-kanak penghidap ADHD, kebanyakannya kanak-kanak yang menghidap alahan makanan. Walaubagaimanapun, kajian terkini berkaitan kesan gula ke atas kanak-kanak menunjukkan gula tidak memberi kesan yang signifikan terhadap tingkah laku atau pembelajaran kanak-kanak.
Selain itu, pengaruh genetik juga memainkan peranan penting ke atas kemunculan gangguan ini pada seseorang, kerana kebiasaanya mereka yang mereka mempunyai pertalian darah dengan penghidap ADHD akan turut menghidap gangguan yang sama. Kajian-kajian sebelum ini menunjukkan bahawa 25% daripada ahli keluarga yang menghidap ADHD juga mengalami gangguan ini, apabila kadarnya adalah 5% pada populasi umum. Begitu juga kaijian kembar menunjukkan pengaruh genetik yang kuat wujud dalam kecelaruan ADHD (Nevid et al.,2000). Pada dasarnya Ken yang mempunyai masalah ADHD ini dikaitkan dengan ayahnya yang turut mempunyai masalah gangguan ADHD semasa kecil.

ADHD dan Perlakuan Jenayah

Pada masa kini, ramai pengkani berusaha menyediakan kerangka teori bagi membuktikan perkaitan antara ADHD dengan jenayah. Sebagai contoh, Nagin dan Trembley (1999) telah membentangkan satu contoh model yang terperinci menghuraikan pertalian antara hiperaktif, gangguan tingkah laku (CD) dengan pelakuan jenayah. Mereka membahagikan kajian empirikal yang sedia ada kepada tiga kategori dalam usaha membuktikan andaian itu. Tiga kategori itu adalah model single pathway model different pathway dan model cumulative effect.

i) Model Single Pathway
Dalam model ini, pengkaji sudah mengenal pasti kekurangan kawalan diri sebagai kunci utama ADHD yang meletakkan kanak-kanak berada dalam risiko segala jenis perlakuan jenayah. Lebih khusus lagi, berdasarkan pandangan ini, gangguan tingkah laku kanak-kanak bukan disebabkan oleh faktor biasa, tetapi di sebabkan oleh ADHD yang menyebabkan masalah tingkah laku untuk satu jangka masa yang lama.
Sesetengah pengkaji, walaupun mereka bersetuju dengan model single pathway yang dihubung kait dengan tingkah laku jenayah, mereka berhujah bahawa gangguan tingkah laku itu hanya sekadar menjadi penunjuk kepada potensi jenayah yang mungkin berlaku pada masa hadapan, dan ADHD bukan satu-satunya faktor yang terlibat dalam masalah ini.
Kajian yang dijalankan menyokong teori yang mencadangkan bahawa ADHD adalah faktor yang berisiko kepada perlakuan jenayah pada masa hadapan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didiagnosa dengan ADHD dijangka akan melakukan perlakuan kekerasan dan tingkah laku antisocial yang terselindung, walaupun dengan ketiadaan masalah tingkah laku. Subjek kajian yang didiagnosa sebagai penghidap ADHD semasa zaman kanak-kanak didapati mempunyai rakan sebaya yang terbatas dan lebih bermasalah dalam pembelajaran pada umur 17 tahun berbanding dengan kumpulan subjek yang hanya mengalami masalah tingkah laku sahaja. Kanak-kanak ADHD juga didapati mempunyai IQ yang rendah dan mempamerkan perlakuan yang lebih agresif berbanding kumpulan kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku.
Kesemua data-data ini menyokong hipotesis yang mencadangkan bahawa kanak-kanak ADHD cenderung mempunyai satu bentuk tingkah laku yang agresif pada satu jangka masa panjang yang disertai dengan kelemahan akademik, dan perkara ini sudah dikenal pasti sebagai faktor risiko pencetus perlakuan jenayah pada masa hadapan (Barkley, 1990).

ii) Model Different Pathway
Model Different Pathway mengenal pasti tingkah laku khusus zaman awal kanak-kanak bagi menentukan sama ada mereka dikaitkan dengan trajektori salah laku yang unik semasa tempoh perkembangan. Ia diperiksa bagi menentukan sama ada mereka mempunyai hubungan dengan kewujudan comorbid ADHD dan CD, comorbid ADHD dan ODD ataupun ADHD sahaja. Kanak-kanak yang mempunyai salah satu jenis comorbid didapati lebih teruk perlakuan berbanding kanak-kanak ADHD sahaja dan mereka ini lebih berisiko melakukan jenayah salah laku.
Dapatan kajian longitudinal terkini Nagin dan Tremlay (1999) menyokong bangkangan yang menyatakan perlakuan agresif, hiperaktif dan penentangan hanya merupakan symptom khusus yang meramalkan bentuk masalah tingkah laku tetentu. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki yang dikenal pasti sebagai hiperaktif di taman asuhan tidak cenderung melakukan perlakuan salah laku apabila remaja, berbanding dengan kanak-kanak lelaki yang menunjukkan tahap tingkah laku fizikal agresif ataupun penetangan yang tinggi.
Daripada dapatan kajian ini menguatkan lagi hipotesis bahawa ADHD bukan satu-satunya faktor yang menunjukkan perlakuan salah laku pada masa hadapan. Tambahan pula, kajian mendapati bahawa trait penentangan yang kronik yang ditunjukkan sepanjang sepuluh tahun ujian lebih kerap membawa kepada salah laku yang terselindung, sementara perlakuan agresif fizikal yang kronik dengan hiperaktif dan penentangan lebih membawa kepada perlakuan salah laku yang lebih serius dan nyata.

iii) Model Cumulative Effect
Model Cumulative Effect adalah tambahan kepada penegasan bahawa lebih banyak masalah tingkah laku yang berlaku pada zaman kanak-kanak, maka lebih besar kecenderungan dia terlibat dengan perbuatan salah laku atau tingkah laku jenayah apabila dia sudah matang. Model ini menjelaskan berkenaan kepercayaan asas bahawa lebih banyak symptom yang dipamerkan oleh seseorang kanak-kanak itu, tidak kira sama ada dia penghidap ADHD, ODD ataupun CD, lebih besar jangkaan mereka terlibat dengan perbuatan salah laku.
Farrington, 1990 merujuk symptom ADHD sebgai gangguan Hyperactive-Impulsive-Attention Deficit atau HIA dan menggunakan satu kaedah memisahkan kesan HIA dan gangguan tingkah laku. Dapatan daripada kajian sebelum ini menyokong pernyataan tersebut bahawa HIA dan gangguan tingkah laku berkait dengan faktor awal latar belakang secara berbeza dengan hasil jenayah akan datang. Sebagai contoh, HIA didapati mempunyai perkaitan dengan I.Q yang rendah, ibu bapa yang terlibat dengan jenayah dan bilangan ahli keluarga yang besar. Sementara faktor asuhan yang lemah, kekurangan pengawalan dan taraf sosio ekonomi yang rendah menjadi petunjuk kepada gangguan tingkah laku.

Gangguan Lain Yang Disebabkan ADHD

Selain dari faktor-faktor yang dijelaskan sebelum ini, terdapat beberapa gangguan lain yang kerap kali mengiringi ADHD antaranya yang pertama ialah gangguan perkembangan seperti kelewatan pertumbuhan global iaitu seperti kerencatan mental ataupun gangguan spectrum autistic. Gangguan yang kedua ialah ketidakupayaan pembelajaran. Ramai kanak-kanak yang mengalami ADHD ini mempunyai ketidakupayaan pembelajaran yang khusus sebanyak 29 hingga 30 peratus. Pada peringkat prasekolah, ketidaupayaan ini termasuklah kepayahan memahami bunyi ataupun perkataan tertentu atau kesukaran meluahkan sifat diri dalam bentuk perkataan serta ketidakupayaan untuk mengeja, membaca, menulis, dan mengira.
Gangguan yang ketiga ialah gangguan Sindrom Tourette. Dimana, sebahagian kecil penghidap ADHD mengalami gangguan neorologi yang dipanggil Sindrom Tourette. Penghidap penyakit ini mempamerkan pelbagai jenis tingkah laku yang berulang seperti kerdipan mata dan gerakan muka yang berulang-rulang kali (NIMH, 1996). Ada juga yang kerap kali membersihkan mulut mereka, bersin, ataupun mengucapkan perkataan dengan menjerit. Tingkah laku ini dapat dikawal dengan rawatan menggunakan ubat-ubatan.
Selain itu, gangguan keempat yang boleh mengiringi ADHD ialah gangguan penentangan tegar (ODD). Para penkaji menganggarkan bahawa satu pertiga hingga separuh daripda jumlah kanak-kanak ADHD, yang kebanyakannya adalah kanak-kanak lelaki menghidap ODD. Antara gejala yang dialami kanak-kanak ini adalah seperti memberontak, bersifat degil, tidak bertolak ansur, dan mempunyai sifat marah yang tidak terkawal serta sifat permusuhan. Mereka juga sering bertelagah dengan orang dewasa dan enggan mematuhi arahan. Hal ini berlaku kepada Ken dimana dia sering
Manakala gangguan kelima yang mengiringi ADHD ialah gangguan tingkah laku (CD). Kanak-kanak ADHD juga cenderung untuk mengalami gangguan tingkah laku (CD) iaitu sekitar 20 hingga 40 peratus. Bentuk gangguan tingkah laku yang dialami seperti antisocial dimana kanak-kanak ini bertingkah laku menipu, mencuri, bergaduh ataupun membuli orang lain, dan berisiko untuk terlibat dengan masalah di sekolah ataupun dengan pihak polis. Mereka melanggar hak-hak orang lain, bertingkah laku agresif pada orang lainataupun binatang, memusnahkan barangan, memecah masuk ke dalam rumah orang, membawa ataupun menggunakan senjata dan terlibat dengan kegiatan vandalism. Kanak-kanak dan remaja CD berisiko terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Gangguan kelima pula melibatkan kebimbangan dan kemurungan. Sesetengah kanak-kanak ADHD kerap mengalami kebimbangan ataupun kemurungan. Jika gangguan ini dikenal pasti dan dirawat, kanak-kanak ini akan dapat menangani masalah ini yang selalunya disertai dengan gangguan ADHD. Rawatan, ADHD yang berkesan didapati mendatangkan kesan yang positif pada kebimbangan dan kanak-kanak ini mampu mengusai tugas-tugas akademik dengan lebih baik (NIMH, 1996). Gangguan yang terakhir ialah gangguan bipolar. Tiada perangkaan yang tepat berkaitan bilangan kanak-kanak ADHD yang mengalami bipolar disorder atau gangguan bipolar. Bagi membezakan

Kaedah Pencegahan Dan Rawatan ADHD

Oleh kerana ADHD menyebabkan masalah-masalah kanak-kanak terutamanya kanak-kanak sekolah tadika dan sekolah rendah seperti seperti kesukaran mengikut arahan yang diberikan oleh guru, suka bercakap dan susah untuk duduk diam dalam kelas, maka langkah-langkah pencegahan seperti peranan guru dan ibu bapa adalah diperlukan.
Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan oleh sesebuah sekolah dalam membantu pelajar-pelajar yang mempunyai gangguan ADHD ini antaranya memilih guru yang berkebolehan iaitu dengan menepatkan pelajar kepada guru yang optimis, fleksibel dan berkebolehan dalam menyelesaikan masalah. Guru yang liberal ini mampu menolong pelajar yang mengalami gangguan ADHD ini.
Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan sokongan bagi mempromosikan kelakuan yang ditugaskan iaitu dengan mencari seorang rakan belajar yang sesuai kepada pelajar ADHD, memerhatikan setiap kerja yang dilakukan oleh pelajar ADHD dan mengekalkan kekerapan komunikasi antara ibu bapa dengan sekolah.
Guru-guru dan ibu bapa juga boleh memberi sokongan motivasi seperti memberi pujian dan ganjaran kepada pelajar dan anak-anak mereka yang membuat sesuatu tugasan dengan baik terutamanya kepada pelajar dan anak-anak mereka yang mengalami masalah gangguan ADHD. Ini dapat membantu membina keyakinan diri kanak-kanak ADHD ini. Berkomunikasi dengan pelajar ADHD dan menanya kepada mereka aktiviti kegemaran mereka juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak yang mengalami gangguan ini. Guru-guru dan ibu bapa juga harus membantu pelajar ADHD ini mencungkil bakat yang terpendam seperti bermain alat muzik, bersukan dan sebagainya serta menentukan satu matlamat yang realistik kepada kanak-kanak ini.
Selain sokongan motivasi, guru-guru dan ibu bapa juga hendaklah memberi sokongan sosial seperti memberi sokongan dan galakan kepada kanak-kanak ADHD apabila mereka menghadapi masalah supaya kanak-kanak ini dapat meningkatkan penghargaan kendiri dan membantu pelajar membentuk kumpulan belajar terutama pelajar-pelajar. Hal ini dapat menggalakkan pelajar berkongsi idea dan tanggungjawab di samping membantu hubungan interpersonal dengan pelajar lain. Pembelajaran secara campuran umur juga dapat membantu pelajar dalam hubungan sosial mereka.
Terdapat beberapa rawatan yang sering digunakan bagi merawat kecelaruan ADHD ini. Rawatan-rawatan ini kerap kali melibatkan pendekatan multidisiplin yang merangkumi bidang psikologi, sosial dan pendidikan. Ubat perangsang turut digunakan bagi merawat ADHD, tetapi tidak bermakna gangguan ini akan pulih sepenuhnya. Ubat perangsang membantu kanak-kanak ADHD menjadi tenang, dapat menumpukan perhatian dan kurang bertindak mengikut gerak hati. Pada jangka masa keberkesanan ubat perangsang, tumpuan perhatian kanak-kanak akan bertambah untuk belajar dan menjalani latihan-latihan kemahirang yang baru.
Ubat perangsang yang utama bagi merawat ADHD adalah methylphenidate. Kesan ubat ini di jangka bermula dalam masa 30 hingga 60 minit dan keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3 hingga 4 jam. Seorang kanak-kanak mungkin memerlukan antara dua hingga tiga dos pada setiap hari bagi mendapatkan kesan yang terbaik. Antara ubat-ubat lain yang digunakan bagi merawat gangguan ini ialah adderall amphetamine, concerta methylphenidate, dexerine dextromphetamine dan dextrostat dextroamphetamine. Terdapat dadah atomoxetine yang didaftarkan atas jenama Strattre, memberi kesan kepada neurotransmiter norepinephrine sementara dadah perangsang berfungsi pada bahagian dopamine. Bahagian neurotransmiter norepinephrine dipercayai memainkan peranan dalam gangguan ADHD di kalangan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun sebelum mengambil sebarang ubat bagi merawat ADHD, pesakit atau penjaga kepada kanak-kanak ADHD perlu mendapatkan nasihat daripada doktor kerana sesetengah ubat hanya berkesan pada individu tertentu sahaja. Bagi kebanyakan orang, dadah jenis perangsang mengurangkan hiperaktif dan impulsiviti kanak-kanak dengan segera serta memperbaiki kemampuan mereka bagi memberi tumpuan, bekerja dan belajar. Penggunaan ubat ini juga dapat memperbaiki koordinasi fizikal seperti yang diperlukan dalam penulisan dan sukan.
Dadah perangsang dapat diambil dalam bentuk jangka masa panjang ataupun pendek. Dadah perangsang jenis baru dapat diambil sebelum pergi ke sekolah dan memberikan kesan dalam tempoh yang lama. Doktor boleh berbincang dengan ibu bapa berkenaan keperluan kanak-kanak ADHD dan memutuskan jenis ubat yang perlu diambil.
Terdapat beberpa kesan sampingan yang biasa muncul akibat pengambilan ubat-ubat ini adalah seperti kurang selera makan, sukar tidur, kebimbangan meningkat dan mudah mudah marah. Sesetengah kanak-kanak dilaporkan mengalami sakit perut dan kepala selepas mengambil ubat-ubat ini.
Walau bagaimanapun, ubat serbenarnya hanya berfungsi mengawal simptom-simptom sepanjang hari ubat diambil. Walaupun ubat membantu kanak-kanak memberikan tumpuan yang lebih baik di sekolah serta menyiapkan tugasan mereka , ia tidak dapat menambah kemahiran belajar mereka. Kanak-kanak ADHD yang turut mengalami gangguan bipolar akan diberi ubatan penstabil mood seperti litium dan depakote. Sebagaimana kanak-kanak remaja juga didiagnosa sebagai penghidap ADHD selalunya akan memulakan rawatan mereka dengan ubat-ubatan dadah perangsang. Atomoxetine adalah ubat yang biasa diberikan kepada remaja selain daripada ubat antikemurungan seperti tricyclics, venlafaxine-effexor dan bupropion-wellbutrin.



Kesimpulan

Kecelaruan ADHD adalah gangguan tingkah laku yang serius. Ini kerana kanak-kanak yang mengalami gangguan ini sering kali bertindak agresive dan menggangu kanak-kanak lain terutamanya semasa berada di sekolah. Jadi apa yang jelasnya di sini, masalah ADHD ini adalah satu masalah yang tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan dan NGO. Memandangkan permasalahan ini semakin meningkat di kalangan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak lelaki, maka langkah-langkah segera perlu dilakukan supaya gejala ADHD di kalangan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak lelaki tidak membawa kepada penglibatan dalam salah laku jenayah yang lebih serius seperti membunuh, merompak pengedar dadah apabila kanak-kanak itu dewasa nanti.
Institusi keluarga nukleus dan sokongan masyarakat sangat penting dan mempengaruhi proses pemulihan yang sedang dijalani oleh kanak-kanak yang menghidap kecelaruan ADHD. Di samping itu hubungan yang baik antara guru dan murid bermasalah dengan ADHD ini juga perlu diwujudkan. Oleh itu, peranan guru amat penting sewaktu di sekolah dalam mengendalikan masalah murid ADHD ini. Kebijaksanaan akal dan kawalan emosi yang tinggi dengan bersikap terbuka dan sabar memang sukar diamalkan, namun itu adalah langkah pertama bagi seorang guru untuk berhadapan dengan murid yang mengalami masalah kecelaruan tingkah laku ini.
Ibu bapa merupakan individu yang paling rapat dan signifikan kepada kanak-kanak dan pembabitan ibu bapa berperanan mempengaruhi pencapaian kanak-kanak di sekolah (Carter, 2003). Tahap ilmu pengetahuan ibu bapa tentang ADHD akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada kualiti kehidupan seseorang kanak-kanak yang mengalami ADHD. Maklumat mengenai ADHD perlu disebarkan oleh berbagai institusi yang berkaitan supaya ibu bapa peka akan manifestasi kecelaruan itu. Jikalau ibu bapa diberi kesedaran akan ciri-ciri ADHD besar kemungkinan mereka akan mengambil tindakan awal untuk mendapatkan rawatan untuk anak mereka yang mempamerkan ciri-ciri tersebut.





Rujukan

Azizi Yahya dan Tan Soo Yin. 2007. Kesihatan Mental. Universiti Teknologi Malaysia. Johor.
Carter, S. (2003). The Impact of parent/family involvement on student outcomes: An annotated bibliography of research from the past decade.
Comer, Ronald J. (1992). Abnormal psychology. New York : Freeman and Company
Corey, G. 1996. Theory and Practice of Counselling and Psychotherapy. California : Brook/
Cole Publishing Company.
Lucker,J.R.,&Molloy,A.T.(1995).Resources for working with children with attentiondeficit/hyperactivitydisorder (ADHD). Elementary School Guidance & Counseling
Peate, Ian. & Chelvanayagam, Sonya. (2006). Caring for Adults With Mental Health Problems Wiley Series in Nursing. England: Hoboken, NJ John Wiley & Sons, Inc.
Truswell, A. Stewart.,& Wall, Patrick G. (2003). ABC of Nutrition. London: BMJ Books.
V. Mark Durand, D. H. (2003). Essentials of abnormal psychology. Pacific Grove, CA: Thomson/Wadsworth.
West C. K & Wood, E. S. (1970). Academic pressure on public school students.
Educational Leadership, 3(4). 585-589.
Yamamoto, K. (1979). Children's rating of the stressfulness of experiences.
Developmental Psychology, 15(5). 581-582.
Youngs, G. A, Rathge, R., Mullis, R & Mullis, A. (1990). Adolescent stress and selfesteem.
Adolescence, XXV(98). 323-341.
http://www.haluan.org.my/v3/index.php/kualiti-remaja-dan-pelajar.html diakses pada 09 ogos 2009 jam 1510
http://www.slideshare.net/mandalina/bilazim diakses pada 25 ogos 2009 jam 1545
http://www.youth.org.my/ippbm/penyelidikan/Dr.Ezhar.pdf diakses pada 09 September 2009 jam 1545

2 comments:

Afiah Akfarinah said...

terima kasih awak sbb banyak post benda-benda yg berguna....

Unknown said...

terima kasih utk maklumat2 ni...amat mmbntu dlm tugasan saya... dan saya juga 0rg sik...kampung dusun... trima ksih...