Thursday, April 29, 2010

“SISTEM DAN KONSEP PELANCONGAN”
Pengenalan
Pelancongan adalah gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan, ini kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja mampu melancong. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong (Matthieson dan Wall, 1991).
Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep, 1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab dan Cooper, 2003).
Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah tumpangan ini dikaitkan dengan piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskeep, 1996).
Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan ekonomi, kemudahsampaian yang tinggi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan (Nurulashila Khalid, 2006).
Sistem Pelancongan
Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata lain, keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu:
 Bahagian pasaran
 Bahagian pembekalan.

 Bahagian Pasaran
Komponen Populasi
Dalam bahagian pasaran, kompenen yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan industri pelancongan ialah kompenen populasi. Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua iaitu penduduk setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah pengembara atau pelawat. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.
Dalam masa yang sama sekiranya mereka mengembara dan kembali semula ke tempat asal mereka tanpa menginap atau dengan kata lain pergi dan balik pada hari yang sama, mereka ini dikenali sebagai pelawat harian atau excursionists. Biasanya mereka ini melibatkan pelancongan dalaman dan bukannya pelancongan antarabangsa. Bagi mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain, pelancong-pelancong ini mungkin terdiri daripada pelajar, pekerja sementara dan juga pendatang bergantung kepada tujuan lawatan itu.
Pelancong biasanya mempunyai motivasi yang berbeza yang mendorong mereka untuk melancong seperti terdapat pelancong yang melancong bertujuan untuk menambah minat dalam kehidupan dan terdapat juga pelancong yang melancong sekadar untuk memenuhi keperluan untuk berehat dan mengenali diri sendiri. Pelancong yang mempunyai motivasi yang berbeza mendorong seseorang untuk melancong dan mempengaruhi kehendak terhadap lawatan yang dilakukan seperti pelancong yang merasakan hidup terlalu pendek berkecenderungan untuk mencuba segala aktiviti dan melawati destinasi-destinasi yang sukar didapati. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan.

 Bahagian Pembekalan
Bagi melengkapkan keberkesanan dan keselesaan dalam industri pelancongan, pembekal perlu membekal serta menawarkan produk atau pun perkhidmatan pelancongan kepada pelancong. Terdapat tiga kompenen utama yang perlu diberi perhatian dalam industri pelancongan. Kompenen-kompenen ini adalah:
i) Komponen Pengankutan.
Sektor pengangkutan memainkan peranan penting bagi memastikan pelancong sampai ke destinasi yang hendak dituju. Malah, sektor pengangkutan masa kini adalah salah satu produk yang ditawarkan dalam industri pelancongan. Terdapat pelbagai mod pengangkutan antaranya jalan raya, air, udara dan landasan. Pengangkutan yang berdasarkan mod jalan raya lebih mudah ditawarkan kerana ia banyak digunakan masa kini memandangkan kos penggunaannya juga lebih murah. Malah, bagi tujuan pelancongan masa kini, penggunaan bas ekspres sering kali digunakan terutamanya oleh mereka yang melancong secara berkumpulan.
Mod pengangkutan udara walaupun mahal tetapi penting kerana ia dapat menghubungkan destinasi yang tidak mempunyai mod pengangkutan jalan raya dan air. Penggunaan pengangkutan udara juga dapat menjimatkan masa terutamanya perjalanan antarabangsa. Mod pengangkutan air pada masa kini lebih kerap digunakan dalam pelancongan bagi tujuan berehat dan berhibur. Ini terbukti dengan wujudnya kapal pelayaran. Pemilihan pelancong dalam memilih mod pengangkutan dipengaruhi oleh beberapa aspek. Antaranya, pelancong lebih cenderung memilih pengangkutan mengikut jarak destinasi yang hendak mereka kunjungi. Pelancong juga lebih cenderung memilih mod pengangkutan yang dapat menawarkan keselesaan dan mempunyai status yang tinggi.
Selain itu, pelancong lebih menitik beratkan aspek keselamatan dan harga dalam memilih mod pengangkutan. Ini memandangkan industri pelancongan masa kini sering kali tergugat oleh faktor-faktor di luar jangkaan seperti pengganas dan bencana alam. Sistem pengankutan yang sistematik akan memudahkan pelancong asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Dengan adanya sistem pengangkutan yang mengenakan tambang pada harga yang berpatutan, selamat, selesa, cekap dan mengikut jadual yang ditetapkan, para pelancong mudah pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah.
Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal laut, bas, teksi dan sebagainya. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia. Sesebuah destinasi pelancongan tidak mungkin berkembang tanpa sokongan infrastruktur pengankutan yang baik.

ii) Komponen Tarikan
Peningkatan jumlah kedatangan pelancong di sesuatu kawasan pelancongan banyak berkaitan dengan daya tarikan yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut. Daya tarikan yang unik dan tersendiri merupakan kuasa magnet yang menarik seseorang untuk melancong ke destinasi tersebut. Pelancong lebih berminat untuk melancong ke sesuatu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan semula jadi seperti Gunung Kinabalu.
Selain itu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan kebudayaan juga dapat menarik minat pelancong untuk melancong di destinasi pelancongan tersebut. Contohnya, negeri Melaka yang mempunyai elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia menyebabkan Melaka terkenal dengan Bandaraya Bersejarah. Di Amerika Syarikat, menurut Smith kebudayaan dan masyarakat pribumi (Red Indian) merupakan antara tumpuan utama pelancong apabila melancong di kawasan-kawasan tertentu di Amerika seperti di Arizona dan Calfornia di mana terletaknya rizab penempatan kaum Chemehuevi dan Mohave. Begitu juga dengan Kaum Maori di New Zealand yang menjadi keunikan utama dan antara tarikan utama pelancong di New Zealand dalam konteks pelancongan (Smith,2002:120-124). Begitu juga halnya dengan lawatan ke Mahal (India), Piramid (Mesir), Angkor Wat (Kemboja) dan Maccu Piccu (Peru) yang turut mempunyai kaitan dengan keunikan budaya tetapi dalam konteks ‘tangible’, iaitu tinggalan dan seni bina tamadun silam yang masih kekal dipelihara.

Rajah 1: Salah satu daya Tarikan yang terdapat destinasi pelancongan di Malaysia
iii) Komponen Perkhidmatan
Kompenen perkhidmatan merupakan kompenen yang penting dalam industri pelancongan di sesebuah Negara. Ini kerana faktor penentu kepada kemasukan pelancong di sesebuah tempat pelancongan berkait rapat dengan kompenen perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri pelancongan tersebut. Semakin tinggi kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah industri pelancongan semakin tinggi jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan tersebut. Kompenen perkhidmatan meliputi segala bentuk kemudahan yang digunakan oleh pelancong semasa berada di destinasi pelancongan. Elemen-elemen perkhidmatan diperlukan oleh pelancong di destinasi pelancongan yang mereka lawati adalah untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang mereka berada di destinasi pelancongan.
Antara kompenen perkhidmatan yang diperlukan oleh pelancong untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang berada di destinasi pelancongan ialah penginapan. Oleh kerana pelancong itu sendiri membawa maksud ke luar dari tempat tinggal asal, maka ia juga membawa maksud pelancong menginap di tempat itu. Di sini jelas sektor penginapan penting bagi memenuhi keperluan pelancong. Sektor penginapan juga menawarkan pelbagai bentuk penginapan dan makanan kepada pelancong. Antara jenis penginapan yang ditawarkan kepada pelancong adalah yang berbentuk tidak perlu dibayar ataupun perlu bayaran yang murah seperti hostel atau asrama sekolah.
iv) Komponen Maklumat/promosi.
Kompenen maklumat atau promosi juga penting dalam industri pelancongan bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti dan pengalaman-pengalaman yang boleh diperolehi oleh pelancong sepanjang berada di destinasi pelancongan tersebut. Bagi meningkatkan kedatangan pelancong di sesuatu destinasi pelancongan pihak pengurusan perlu menyediakan maklumat-maklumat yang ditawarkan sebelum dan semasa pelancong melancong di destinasi tersebut. Maklumat-maklumat yang boleh dipromosikan adalah seperti aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang ditawarkan, tarikan-tarikan yang boleh mendorong pelancong untuk melancong ke destinasi tersebut, pengankutan dan kos yang diperlukan untuk sampai ke destinasi pelancongan tesebut dan tempat-tempat penginapan yang boleh didapati di kawasan pelancongan tersebut. Selain itu, pihak pengurusan perlu mempromosikan latar belakang sesuatu destinasi pelancongan seperti bahasa dan budaya yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi memudahkan pelancong berkomunikasi danberinteraksi dengan penduduk tempatan. Pihak pengurusan perlu ingat bahawa pelancong pada masa kini lebih berpengalaman dan berpendidikan dalam memilih sesuatu destinasi pelancongan yang ingin mereka lawati.


Konsep Pelancongan
Perkataan ‘tour’ berasal dari Latin ‘tornare’ dan Greek ‘tornos’ yang memberi makna ‘a lathe or a cicle’ iaitu pergerakan yang mengelilingi titik pusat (axis). Dalam bahasa Inggeris moden, perkataan ini mewakili satu pusingan (one’s turn). Imbuhan akhiran ‘ism’ ditakrifkan sebagai satu pergerakan dan proses, perlakuan biasa atau kuantiti. Apabila perkataan ‘tour’ dan ‘ism’ digabungkan ia bermaksud perlakuan bergerak mengeliling satu pusingan yang akhirnya akan berpatah balik kepada garis permulaan (Theobald, 1994:6). Pada tahun 1811, Oxford English Dictionary mendefinisikan pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999).
Revolusi Perindustrian yang bermula pada abad ke-18 di Eropah dan Amerika Utara menjadi asas untuk pembangunan pelancongan moden. Revolusi ekonomi dan sosial telah meningkatkan daya pengeluaran buruh yang mewujudkan perbandaran secara besar-besaran, pertumbuhan kelas menengah yang pesat, taraf pendidikan yang lebih sempurna, lebih masa lapang dan permintaan terhadap rekreasi dan kemajuan bidang pengangkutan seperti landasan kereta api merupakan faktor-faktor perkembangan industri pelancongan selepas perang dunia kedua (Iskeep, 1996; Theobald, 1994:3).
Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan (Zainab dan Shaharuddin, 1997:177; Ghazali Musa, 2000:144). Tourism Development Corporation of Malaysia (TDC) ditubuhkan pada tahun 1972, perbadanan ini bertanggungjawab menjalankan
pembangunan pelancongan. Pada masa itu, TDC tidak diberi keutamaan dengan kewangan yang terhad. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah ditubuhkan pada tahun 1987. Kementerian ini memainkan peranan dalam menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri ini. Kemudiannya kementerian ini telah ditukarkan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga ke hari ini. Secara umumnya konsep pelancongan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pelancongan konvensional/massa dan pelancongan alternatif.
i) Pelancongan Konvensional/massa
ii) Pelancongan Alternatif
a) Eko-Pelancongan
Konsep eko-pelancongan bermaksud pelancongan yang bersandarkan kepada penghayatan ekologi yang bertanggungjawab dan berdaya-tahan. Ekopelancongan merupakan satu bidang yang mempunyai potensi perkembangan yang paling besar dalam industri pelancongan dunia.
Menurut Ceballos-Lascurain (1996), ekopelancongan adalah perjalanan dan lawatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar kepada kawasan semula jadi untuk menikmati dan menyedari akan sifat-sifat semula jadi (termasuk sifat-sifat kebudayaan kini dan lalu), menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, membawa kesan yang rendah serta membolehkan penglibatan masyarakat tempatan di dalam aktiviti sosio-ekonomi yang positif (Scheyvens, 1999:245; Ross dan Wall, 1999a:124; Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia 1996:1; Jafar Jafari, 2000:165; Page dan Dowling, 2002; Weaver, 2001). Ekopelancaongan sebagai pengembaraan yang bertujuan mewujudkan kesefahaman dalam kebudayaaan dan persejarahan yang tergolong dalam persekitaran, menekankan penjagaan ekosistem dan menghasilkan faedah dalam bentuk ekonomi kepada tempatan dan kerajaan untuk menggalakkan pemuliharaan semula jadi (Goeldner et.al, 2000; Hawkins, 1994:261).
Ekopelancongan akan melibatkan komuniti tempatan dalam proses pengurusan dan perancangan sumber semula jadi iaitu memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi atau biodiversiti. Dengan penglibatan dalam ekopelancongan, komuniti tempatan akan menerima faedah dari segi ekonomi dan sosial. Dalam aspek ekonomi, ekopelancongan akan meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan masyarakat setempat. Misalnya di Nepal, penduduk sekitar kawasan Taman Negara Sagarmatha telah menerima pendapatan daripada menjadi pemandu pelancong, menjual kraftangan dan pakaian dan membekalkan penginapan kepada pelancong (Wells, 1993 dalam Ross dan Wall, 1999a:128). Selain itu, ekopelancongan juga meningkatkan kemudahan infrastruktur dan komunikasi setempat yang dibekalkan oleh pihak kerajaan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon awam, kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan pembangunan ekonomi kawasan tersebut terutamanya di kawasan pedalaman. Dalam aspek sosial, ekopelancongan akan memperbaiki pemahaman dan penghargaan pelancong terhadap kebudayaan masyarakat setempat. Ekopelancongan menyemai nilai dan perasaan kehormatan diri kepada penduduk kampung pedalaman. Ini dapat
menggalakkan dan menguatkan warisan kebudayaan (Cater, 1994 dalam Ross dan Wall, 1999a:128).



Rajah 2: Tempat-tempat ekopelancongan di Malaysia
b) Pelancongan Luar Bandar
Pelancongan luar bandar ialah pelancongan yang menumpukan kepada aspek-aspek yang terdapat di luar bandar. Lane (1994) melalui Sharpley dan Telfer. et. al (2002) mendefinisikan pelancongan luar bandar sebagai “ Rural tourism extends beyond farm-based tourism to include special-interest nature holidays and ecotourism, walking, climbing and riding holidays, adventure, sport and health tourism, hunting and angling, educational travel, arts and heritage tourism, and in some areas, ethnic tourism. (Lane, 1994 :9)”. (ms. 138) . Manakala merujuk definisi desa oleh Sharpley dan Sharpley (1997) melalui Sharpley dan Telfer. et. al (2002) sebagai berikut “ describe rural as all areas, ‘both land and water, thatlie beyond towns and cities which, in national and regional cotenxts, may be described as major urban centres’.
Pelancongan luar bandar melibatkan kepelbagaian aktivirti, perkhidmatan dan keselesaan yang disediakan oleh penduduk luar bandar. Di Malaysia pembangunan pelancongan desa semakin berkembang sejak 20 tahun lepas melalui pembangunan program-program homestay. Dalam konteks Negara ini, pelancongan desa merujuk kepada pembangunan program-program homestay di kampung-kampung berjaya di seluruh Malaysia. Iaitu program yang didefinisikan oleh Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan sebagai “ …where tourist sta ywith the host’s family and experience the everyday way of life of the family in both a direct and indirect manner.” Keunikan dan kepelbagaian budaya oleh penduduk di Malaysia yang memaparkan kemeriahan adat resam dan budaya masyarakat tempatan seperti majlis perkahwinan, cara perubatan tradisional dan kepercayaan penduduk disesuatu kawasan menyebabkan industri pelancongan ini menjadi salah satu kepentingan dalam industri pelancongan di Malaysia.
Inisiatif kerajaan dalam membangunkan program homestay sebagai produk pelancongan desa adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tradisional tempatan. Namun tahap pencapaian sehingga kini, perubahan hanya berlaku dari aspek kuantiti program tetapi dari aspek kualiti program homestay tidak jauh berbeza.
Pelancongan luar bandar yang menawarkan program homestay banyak melibatkan aktiviti-aktiviti yang memberi pengalaman kepada pengunjung seperti perkhemahan, kembara dihutan dan sebagainya. Selain itu pelancongan luar bandar turut mempromosikan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan keagamaan sesuatu kaum seperti adat perkahwinan, upacara keagamaan seperti marhaban, berzanji, burdah dan nasyid bagi masyarakat islam.

c) Pelancongan Tani
Pelancongan tani atau agro pertanian merupakan pelancongan yang berasaskan pertanian dimana pelancongan ini melibatkan aktiviti urus niaga yang dilakukan oleh para petani sama ada untuk tujuan persendirian, pendidikan, mempromosi produk ladang atau menambah pendapatan pengusaha ladang (Hilchey, 1993). Pelancongan ini menawarkan pengalaman kepada pelancong terutama pelancong luar negara untuk menikmati kesegaran buah-buahan tempatan di taman pertanian. Sektor ini mula berkembang di Malaysia pada akhir tahun 1980 an dengan terbinanya taman pertanian pertama pada tahun 1987 iaitu Taman Pertanian Bukit Cahaya di negeri Selangor. Kini terdapat sebanyak 30 pusat taman pertanian diseluruh negara antaranya Taman Pertanian Tenom, Tenom Sabah, taman pertanian indera mahkota, tropical fruit farm, di pulau pinang dan desaru fruit fram, johor.
Pelancongan tani ini berbeza dengan pelancongan luar bandar dimana konsep pelancongan tani ini lebih berasaskan pertanian dan kawasan pelancongan tani ini tidak semestinya berada di luar bandar atau kampung. Ini kerana banyak kawasan pelancongan tani ini di buka di kawasan bandar. Ini bertujuan untuk memudahkan pelancong dan seterusnya menarik minat mereka untuk melawat negara ini. Selain itu ia juga untuk mengelakkan pelancong pergi kekawasan luar bandar pada musim-musim tertentu kerana buah-buahan di negara ini berbuah mengikut musim. Selain itu pelancongan tani juga menyediakan pengalaman kepada pelancong seperti pengalaman memetik sendiri buah-buahan di taman pertanian. Hal ini bukan sahaja membantu menambahkan bilangan kedatangan pelancong malahan ia turut membantu meningkatkan sumber pendapatan pengusaha-pengusaha ladang buah-buahan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, pelancongan adalah industri yang terdiri daripada pelancong, sektor-sektor dan aktiviti-aktiviti yang terlibat secara lansung dalam membentuk sebuah industri. Pelancongan tidak wujud tanpa adanya pelancong kompenen-kompenen asas yang di perlukan oleh pelancong. Malah, pelancong adalah ejen penting yang menentukan sama ada industri pelancongan terus berkembang ataupun sebaliknya. Sektor-sektor yang terlibat dalam menawarkan produk ataupun perkhidmatan juga perlu dititik beratkan kerana merekalah yang berperanan dalam mewujudkan suatu persekitaran pemasaran pelancongan yang global.

Rujukan.
Amran Hamzah (2004). The Evolution Of The Homestay Programme In Malaysia : Performance, Sustainability And Challenges. Country Paper presented of the ASEAN Homestay Conferences.Organise by the Ministry of Tourism Malaysia, The Marriott Hotel, Putrajaya 28-30 September 2004.

Davison, G.W.H. & Regis, P. 1999, Pelan ekopelancongan kebangsaan Malaysia : Garis panduan untuk negeri Sabah : (The Malaysian National Ecotourism Plan : guidelines for Sabah). Kementerian Pembangunan Pelancongan. Kota Kinabalu

Department of Economic and Social Affairs (1999), Tourism And Sustainable Development- Sustainable Tourism: A Non-Governmental Organization Perspective. Commission on Sustainable Development Seventh Session 19-30 April 1999, New York.

Dudley, N & Phillips, 2006. A Forests and Protected Areas: Guidance on the use of the IUCN protected area management categories. IUCN Publications Services Unit

Elvi Susanti Drs.Lahmuddin Yusuf (1999), Konsep Usaha Sama Dalam Perancangan dan Pengurusan Program Pelancongan Homestay di Banghuris. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah.

Inskeep, E. 1991. Perancangan Pelancongan (Tourism Planning). Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur. Di terjemahkan oleh CheElainee Che Hassan & Norlida Halim

Selin S. (1999), Developing a Typology of Sustainable Tourism Partnerships, Journal Of Sustainable Tourism, Vol. 7, Nos 3 & 4: 260-273.





Lampiran.

PELANCONGAN YANG BERCIRIKAN EKO-PELANCONGAN

PELANCONGAN BERCIRIKAN PELANCONGAN LUAR BANDAR

PELANCONGAN YANG BERCIRIKAN PELANCONGAN TANI
ANTARA KEMUDAHAN-KEMUDAHAN DI TEMPAT PELANCONGAN
TEMPAT LETAK KENDERAAN
TANDAS AWAM
TELEFON AWAM

4 comments:

Unknown said...

salam...terima kasih banyak..dengan blog kamu ini saya dapat tambahkan ilmu saya untuk siapkan thesis saya..thanks..

..WAmomoiro.. said...

salam.. entry awak banayak menolong saya menyiapkan thesis saya juga.. terima kasih banyak-banyak

Unknown said...

terima kasih atas maklumat di atas.. ianya membantu saya untk menyiapkan kerja kursus saya di kolej

Unknown said...

15 hari berjalan di Everest Base Camp



•Details
Mencabar diri sendiri! Alam semulajadi adalah milik anda turun di sini untuk Gunung Everest
Kagum melihat pemandangan dari Gunung Everest,
Melawat Tengboche Monastery lama monastery di Lembah Khumbu
Di Namche Bazar, 3,440 m pintu masuk ke Everest Base Camp
Rehat di pangkalan Everest kem 1 jam
Sampai ke Kalapathar, titik pandangan untuk melihat dunia tertinggi puncak Gunung Everest 8,848 m
Ketersediaan:
•15 hari trek di Everest Base Camp
Panduan hidup: Bahasa Inggeris
Tempoh: 15 hari, lawatan swasta, langkau baris / masuk Fast Track
Satu orang kos AS$ 1190.00
Description/kawalan:
Gunung Everest Base Camp merupakan destinasi yang paling popular untuk trekkers di Nepal. Popularitinya telah berkembang sejak ekspedisi pertama sebelah Nepal Everest pada 1950-an.
Trek Everest Base Camp, trek Gunung sangat terkenal, bermula dari Lukla (2804m) dan mengikut Lembah Dudh Kosi yang dipanjat sehingga ibu dengan Namche, bazar sibuk itulah sebuah persimpangan trekkers, dengan tempatan dan Kumpulan ekspedisi.
Sepanjang bahagian denai, Kampung-Kampung selangi dengan hutan-hutan indah rhododendron, magnolia dan firs gergasi. Dalam awal musim luruh dan musim bunga lewat, bunga-bunga ini sebahagian Tim membuat ia jenis berjalan kaki anda akan ingat untuk jangka masa yang panjang, panjang.

Trek tersebut mengambil masa dari Lukla. Pertama kita perlu mengambil masa 30 minit penerbangan pagi dari Kathmandu Lukla dan kami tanah yang kecil pada landasan kapal terbang Lukla kemudian kami mula trek ke wilayah Khumbu. Tim mengikuti laluan Lembah Dudh Kosi dengan pendakian untuk sehingga ibu dengan Namche Bazaar. Dari Namche, anda susur di sepanjang laluan yang tinggi dari di mana anda mempunyai pandangan baik pertama Everest. Anda menuju ke arah Thyangboche Monastery terletak di atas rabung gunung dan kemudian turun Imja Khola dan terus Pangboche dan Pheriche. Selepas itu anda tiba glasier Khumbu. Trek melalui glasier yang akan membawa anda pertama ke Lobuche dan kemudian ke Gorak Shep, di mana anda akhirnya sampai ke destinasi anda, Everest Base Camp di kaki Gunung ais Khumbu jatuh.

http://nepalguideinfo.com/Everest-Base-Camp-trek/
http://nepalguideinfo.com/

http://www.hikehimalayas.com/trekking-in-Nepal/trekking-Region/Everest-Region/Everest-Base-Camp.htm
http://www.nepalguideinfo.com/
https://www.Facebook.com/Independenttrekkinguidenepal