Thursday, April 29, 2010

PENGENALAN

Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep, 1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling berkait antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab dan Cooper, 2003).
Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah tumpangan ini dikaitkan dengan piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskeep, 1996).
Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan ekonomi, kemudahsampaian yang tinggi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan (Nurulashila Khalid, 2006).

DESTINASI PELANCONGAN
KOTA KINABALU WETLAND CENTER (KK WETLAND)

Kota Kinabalu Wetland Centre (KK Wetland) terletak di Likas iaitu hanya dua kilometer ke timur laut Bandaraya Kota Kinabalu iaitu dengan mengambil masa selama 10 minit perjalanan dari Bandaraya Kota Kinabalu. Ia lebih dikenali sebagai tempat Perlindungan Burung yang meliputi kawasan seluas 24 hektar (60 ekar) hutan paya bakau. Kawasan ini merupakan kawasan tanah lembap yang mempunyai jumlah kawasan paya bakau yang luas.
Oleh kerana ianya merupakan tempat persinggahan burung-burung maka ia juga sesuai dijadikan sebagai pusat pendidikan dan rekreasi. Antara spesies burung yang sering didapati di sini ialah spesies yang berhijrah dari kawasan-kawasan sejauh Asia Utara, Siberia dan China Utara seperti Burung Kedidi, Greenshank, Redshank, bangau, pucung dan juga burung-burung silara umpamanya collared kingfisher serta stork-billed kingfisher. Sehingga kini hampir 80 spesies burung telah dikenal pasti di tempat perlindungan ini. Namun begitu, burung-burung ini hanya dapat dilihat pada bulan September hingga April setiap tahun.
Kawasan ini dijadikan sebagai kawasan Santuari burung pada tahun 1996 dan diwartakan sebagai tapak warisan budaya negeri pada tahun 1998. Pusat tanah lembap ini merupakan tempat tinggal kepada hidupan paya bakau seperti ketam rebab yang berwarna-warni dan ikan tembakul yang kecil lagi licik, serta burung tempatan dan persinggahan bagi burung-burung hijrah. Pusat Tanah Lembap ini menjadi mercu tanda rizab alam semulajadi dan rekreasi kepada penduduk tempatan dan para pelancong, beberapa kemudahan seperti tempat pemerhatian burung, menara pemerhati dan pusat pendidikan alam sekitar dibina para pelawat dapat berinteraksi dan belajar tentang ekosistem tanah lembap di kawasan ini. Kawasan Tanah Lembap ini diuruskan sepenuhnya oleh Pertubuhan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (Sabah Wetlands Conservation Society).
Menurut The Ramsar Convention (1971), tanah lembap adalah kawasan marsh, fern, paya gambut berair sama ada semulajadi atau buatan, kekal atau sementara, dengan aliran statik atau mengalir, air tawar, payau atau masin, termasuk kawasan marin yang kedalamannya tidak melebihi 6 meter pada waktu air surut. Tanah lembap juga boleh didefinisikan sebagai kawasan berair yang boleh menampung pelbagai hidupan dan kebanyakan tanah lembap akan diliputi oleh lapisan air yang cetek.
Memandangkan Kota Kinabalu Wetland mempunyai kepelbagaian spesis flora dan fauna, maka KK Wetland sesuai dijadikan kawasan pelancongan alternatif yang berkonsepkan eko-pelancongan. Ini kerana pengunjung atau pelancong yang datang ke sini kebanyakkannya terdiri daripada pelancong-pelancong yang cintakan alam sekitar dan menekankan penjagaan ekosistem di kawasan tersebut. Disamping itu KK Wetland juga menyediakan tempat untuk pengujung yang ingin melakukan aktiviti mengenai alam sekitar seperti mengkaji pokok hidupan flora dan fauna.


OBJEKTIF LAWATAN KE KK WETLAND:
Antara objektif lawatan ke Kota Kinabalau Wetland (KK Wetland) Center ialah:
i) Mengetahui inventori tarikan eko-pelancong yang terdapat di KK Wetland
ii) Mengetahui tarikan-tarikan yang terdapat di KK Wetland.
iii) Untuk melihat pengaruh pelancong terhadap habitat flora dan fauna KK Wetland.


PETA KAWASAN

Rajah 1 : Peta Lokasi Kota Kinabalu Wetland Centre





INVENTORI TARIKAN EKO-PELANCONGAN DI KK WETLAND
Inventori tarikan eko-pelancongan merupakan satu sistem pentadbiran yang amat penting bagi sesebuah kawasan pelancongan. Inventori tarikan eko-pelancongan hendaklah selengkap dan terperinci yang mengandungi maklumat berkaitan dengan pusat pelancongan dan daya tarikan yang terdapat dalam pusat pelancongan tersebut supaya pelancong yang datang melawat tidak mengalami kesulitan terutama sekali pelancong yang datang dari luar. Walau bagaimanapun sesebuah pusat pelancongan tidak semestinya menyenaraikan satu senarai yang sainstifik berkaitan dengan spesis haiwan dan tumbuhan yang terdapat di kawasan berkenaan.
Inventori tarikan pelancong hendaklah dilihat sebagai satu huraian tentang ciri-ciri kawasan pelancongan berkenaan yang mana ia menjadi tarikan utama pelancong. Pelancong-pelancong lebih suka datang ke sesuatu kawasan pelancongan yang mempunyai maklumat-maklumat yang dikehendaki huraian-huraian mengenai tarikan yang mendorong mereka datang ke pusat pelancongan tersebut.
Inventori tarikan pelancong di KK Wetland merangkumi satu huraian mengenai spesis-spesis burung, ikan dan tumbuhan yang terdapat di destinasi pelancongan ini. Huraian-huraian di sini mudah difahami oleh pelancong dalam dan luar Negara kerana huraian spesis-spesis di sini menggunakan tiga bahasa utama iaitu bahasa Melayu, English dan Mandarin.
Melalui huraian kawasan dan spesis-spesis tumbuhan dan burung-burung yang terdapat di sekitar kawasan pelancongan ini, pelancong dapat mengenal dengan lebih dekat spesis tumbuhan dan haiwan tanpa persoalan selain daripada mendapat ilmu mengenai spesis-spesis yang terdapat di sini. Huraian mengenai spesis-spesis tumbuhan dan haiwan yang terdapat di sesuatu kawasan pelancongan juga dapat membantu penyelidik yang ingin membuat penyelidikan di tempat pelancongan tersebut. Hal ini bukan sahaja menarik lebih ramai penyelidik dari dalam Negara malahan turut menarik minat penyelidik dari luar Negara.
TARIKAN PELANCONGAN DI KK WETLAND

Berdasarkan pemerhatian yang telah dijalankan di kawasan ini, didapati bahawa kebanyakan kawasan ini diliputi oleh pokok paya bakau yang mana spesies yang paling banyak terdiri daripada spesis bakau kurap dan spesis bakau minyak. Pokok bakau merupakan spesies tumbuhan yang sensitife terhadap sebarang gangguan seperti penukaran tanah, penebangan hutan, penebusgunaan dan pencemaran. Selain itu, mengikut maklumat yang diperoleh daripada cik Juvina, terdapat lebih 80 spesies burung yang akan berhijrah ke Kota Kinabalu Wetland Centre pada setiap September hingga April. Hal ini menyebabkan kawasan ini diwartakan sebagai pusat pelindungan dan pemuliharaan oleh kerajaan negeri Sabah.
Kota Kinabalu Wetland yang terletak berhampiran dengan bandaraya Kota kinabalu mempunyai pelbagai tarikan yang boleh meningkatkan kedatangan pelancong dalam dan luar Negara terutama sekali pelancong-pelancong yang cintakan alam sekitar. KK Wetland juga mempunyai ketiga-tiga kategori tarikan pelancong iaitu tarikan unggul, tarikan pelengkap dan tarikan sokongan.

TARIKAN UNGGUL(TARIKAN TERAS)
Tarikan unggul atau tarikan teras dapat didefinisikan sebagai tarikan yang merujuk kepada unsur-unsur semulajadi yang terdapat di sesuatu kawasan. Unsur-unsur semulajadi ini menjadi tarikan utama di mana menjadi peyebabkan utama kedatang pelancong ke pusat pelancongan tersebut semata-mata untuk melihat atau menikmati unsur-unsur semulajadi ini kerana unsur-unsur semulajadi ini tidak terdapat atau ditawarkan di destinasi pelancongan yang lain. Kota Kinabalu Wetland mempunyai tarikan semulajadi yang tersendiri di mana KK Wetland merupakan tempat persinggahan burung-burung tempatan dan luar Negara seperti Asia Utara, Siberia dan China Utara.
Terdapat pelbagai jenis spesis burung yang boleh di dapati di sekitar kawasan pelancongan ini dimana pengujung yang datang ke sini boleh lihat spesis- spesis burung secara dekat melalui pondok pemerhatian burung yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat pelancongan ini. Antara spesis-spesis burung yang terdapat di pusat pelancongan ini ialah keruak, merbok, bangau, pekaka,kedidi,rapang kerinyut, pucung serandau dan kunyit kacat. Pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat habitat-habitat burung yang terdapat tempat pelancongan ini.










RAJAH 2: ANTARA SPESIS BURUNG YANG TERDAPAT DI KK WETLAND.
Selain dapat melihat spesis burung, pengunjung yang datang ke pusat pelancongan ini juga berpeluang melihat spesis-spesis ikan yang tinggal di kawasan paya bakau seperti ikan tilapia, belangkas, ketam rebab, ketam bakau, tiram dan kupang serta berungun. Kesemua spesis-spesis yang terdapat di kawasan pelancongan ini disenaraikan dengan satu huraian maklumat yang ringkas dan padat.


TARIKAN PELENGKAP
Tarikan pelengkap merupakan tarikan yang merujuk kepada warisan-warisan semulajadi dan kebudayaan yang terdapat pada sesuatu tapak pelancongan. Walau bagaimanapun tahap kepentingan tarikan pelengkap di sesuatu tapak pelancongan tidak sama dengan tarikan unggul. Tarikan pelengkap tidak harus dipandang mudah atau diabaikan oleh pengusaha pusat pelancongan kerana ia menjadi pendorong sampingan yang menambah kepada nilai eko-pelancongan di kawasan pelancongan.
Tarikan pelengkap juga dapat menyumbang kepada kepebagaian pengalaman pelancong yang membuatkan pelancong ingin tinggal lebih lama dikawasan berkenaan dan membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti sampingan. Melalui tarikan pelengkap juga, ia dapat menyumbang kea rah mengelakkan tumpuan para pelancong yang berlebihan kepada sesuatu tapak pada masa yang sama selain mengalakkan pengagihan pelancong dalam sesuatu kawasan.
Tarikan pelengkap yang terdapat di KK Wetland ialah hutan paya bakau. Hutan paya bakau yang terdapat di kawasan pelancongan ini merupakan antara kawasan paya bakau yang terluas di negeri Sabah. Kebanyakan hutan paya bakau yang terdapat kawasan pelancongan ini terdiri daripada spesis bakau minyak, spesis bakau kurap dan spesis bakau putih. Setiap spesis bakau di sini dihuraikan dengan satu huraian lengkap mengenai habitat, dan ciri-ciri ekologinya. Selain itu hutan bakau juga merupakan kawasan yang menjadi perlindungan atau habitat bagi beberapa flora dan fauna yang mempunyai penyesuaian yang unik. Misalnya banyak spesis udang dan ikan bertelur di sekitar kawasan ini.
Kebanyakan ikan-ikan menjadikan hutan paya bakau sebagai kawasan pembiakan di mana ikan-ikan akan bertelur di celah-celah akar pokok di dalam air. Kemusnahan hutan paya bakau akan memberi kesan ke atas ekonomi sesebuah negara terutamanya yang berkaitan dengan sektor perikanan. Hutan paya bakau juga turut menjadi habitat bagi haiwan lain seperti monyet, ular, memerang, biawak dan burung. Hutan bakau adalah kawasan yang kaya dengan pelbagai makanan untuk menampung spesies organisma seperti kulat dan bakteria yang terdapat dalam lumpur menjalankan proses pereputan terhadap daun pokok bakau yang telah gugur. Hasil daripada proses pereputan menyediakan sumber detritus dan mineral untuk krustasea dan ulat-ulat mikroskopik. Krustasea dan ulat akan menjadi sumber makanan bagi ikan-ikan kecil manakala ikan-ikan kecil akan menjadi mangsa kepada ikan besar, ketam dan burung. Kitaran makanan ini dapat menjamin sumber makanan yang berterusan di hutan paya bakau.
Oleh kerana hutan paya bakau mempunyai keunikan serta pelbagai spesies flora dan fauna, maka ia mampu menjadi kawasan khazanah negara dan pusat pelancongan. Keunikan flora bakau dilihat dari aspek habitat semulajadi yang berlumpur di mana akan mewujudkan flora yang mempunyai cara yang unik untuk beradaptasi di kawasan habitat yang berlumpur. Sebagai contohnya, pokok bakau rhizophora mempunyai akar yang menonjol seperti kaki labah-labah dimana ia berfungsi sebagai pencengkam tanah yang berlumpur dengan kuat. Keunikan kawasan hutan ini menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung yang berhijrah dari hemisfera utara ke hemisfera selatan dan sebaliknya.
Lantaran itu, ia boleh dieksploitasikan sebagai pusat pelancongan yang dapat menarik golongan pelancong luar negara dan pelancong tempatan. Misalnya, tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh para pelancong ialah Kuala Sepetang, Perak dan Taman Alam Kuala Selangor, Selangor. Hutan paya bakau juga berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan ekopelancongan, taman buaya, tanaman hidupan liar, dan pemeliharaan lebah madu serta ikan.



Rajah 3: Hutan Paya Bakau Yang Merupakan Tarikan Pelengkap di Kota Kinabalu Wetland



TARIKAN SOKONGAN
Tarikan sokongan merupakan merupakan tarikan yang disediakan oleh pihak pengurus sesebuah pusat pelancongan. Tarikan ini terdiri daripada kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang berunsur buatan yang boleh memberi keselesaan dan kepuasan yang berlainan kepada pengunjung yang berkunjung ke destinasi pelancongan tersebut. Kemudahan-kemudahan ini merangkumi kemudahan tempat penginapan, tempat makan (restoran), pusat penyelidikan, kenderaan dan lain-lain kemudahan.
Kemudahan ini bukan sahaja memberi sokongan dan perkhidmatan kepada pelancong malahan ia turut memberi satu pengalaman baru kepada pengunjung. Selain itu ia turut memudahkan pengunjung yang datang ke pusat eko-pelancongan ini untuk membuat penyelidikan dan kajian mengenai flora dan fauna yang terdapat di sesuatu pusat eko-pelancongan yang dilawati mereka. Walau bagaimanapun kemudahan yang disediakan ini tidak bermaksud menjadi tujuan utama seseorang pelancong melawat kawasan tersebut. Ia hanyalah sebagai satu sokongan dan tambahan kepada tarikan unggul dan tarikan pelengkap yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut.
Terdapat beberapa tarikan sokongan yang boleh didapati di Kota Kinabalu Wetland. Tarikan sokongan terdiri daripada unsur-unsur perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pengurus pusat pelancongan ini. Kemudahan-kemudahan ini memudahkan pengunjung-pengunjug terutama sekali pengunjung yang ingin membuat kajian dan penyelidikan mengenai spesis flora dan fauna yang terdapat di sini.
Antara kemudahan yang disediakan ialah pusat kegiatan alam. Pusat kegiatan alam merupakan tempat dimana pengunjung boleh melakukan aktiviti seperti seminar dan membuat penyelidikan di sekitar kawasan pelancongan ini. Selain itu, pusat pelancongan ini turut menyediakan pondok pemerhati burung dimana pengunjug yang datang ke sini boleh melihat dengan lebih dekat burung-burung yang tinggal di kawasan ini. Kemudahan pondok pemerhati burung juga dapat digunakan oleh penyelidik untuk melihat dan mengkaji spesis burung yang ada di sini. Pihak pengurusan KK Wetland juga menyediakan menara pemerhati kepada pengunjung yang ingin melihat kawasan pelancongan ini dari atas. Kelainan kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat pelancongan ini menyebabkan pelancong-pelancong eko pelancongan gemar melakukan lawatan dan membuat kajian di kawasan ini.
Antara kemudahan lain yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat pelancongan ini ialah pengunjung boleh melakukan aktiviti seperti seminar, atau bengkel di dalam kawasan pelancongan ini. Hal ini menyebabkan kebanyakan badan kerajaan dan bukan kerajaan membuat bengkel atau seminar di pusat pelancongan ini.


RAJAH 4: TARIKAN SOKONGAN YANG TERDAPAT DI KK WETLAND.
KK Wetland yang terletak berdekatan dengan pusat bandaraya kota kinabalu sedikit sebanyak mendorong pelancong untuk datang ke sini. Perjalanan yang mengambil masa 10 minit dari bandaraya menyebabkan pelancong tidak mengalami masalah pengankutan dan penginapan. Ini kerana pelancong boleh berulang alik dari bandaraya ke pusat pelancongan ini.



KESAN KEDATANGAN PELANCONG TERHADAP FLORA DAN FAUNA DI KK WETLAND
Kota Kinabalu Wetland Centre merupakan kawasan paya bakau yang mempunyai jumlah kawasan yang luas dan hampir keseluruhan kawasan ditumbuhi dengan pokok bakau. Masalah utama yang dapat dilihat ialah masalah pencemaran akibat pembuangan sampah oleh pelancong dikawasan ini. Pencemaran yang berlaku menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut dalam air, bahkan dapat terjadi keadaan anoksik dalam air sehingga bahan organik yang terdapat dalam sampah mengalami pereputan anerobik yang antara lain menghasilkan hidrogen sulfide dan ammonia yang merupakan racun bagi organisma haiwan dalam air.
Oleh yang demikian, pembuangan sampah yang tidak terkawal akan memberi kesan negatif dalam jangkamasa panjang dan keadaan ini harus diambil serius oleh pengusaha pusat pelancongan tersebut. Selain daripada masalah pembuagan sampah dari pelancong yang berkunjung kesini terdapat juga sampah-sampah yang dihasilkan berpunca dari kawasan perumahan yang berhampiran dengan kawasan pemeliharaan bakau ini.
Selain itu, kesan kedatangan pelancong yang berlebihan dalam satu-satu masa juga boleh menyebabkan pemindahan burung-burung ke kawasan lain. Kebanyakkan burung-burung yang terdapat di pusat pelancongan ini merupakan burung-burung yang liar. Kedatangan pelancong yang berlebihan juga menyebabkan habitat burung-burung di pusat pelancongan terasa terancam disebabkan terdapat sesetengah pelancong membaling habitat burung di kawasan ini.hal ini juga boleh menyebabkan penghijrahan burung ke kawasan ini akan berkurang dan beralih ke tempat lain.



CADANGAN
Kota Kinabalu Wetland Centre merupakan salah satu kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan pokok bakau dan tempat persinggahan burung yang terluas di Sabah. Pusat ini mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna yang unik terutamanya spesies pokok bakau seperti pokok bakau minyak dan pokok bakau kurap serta pelbagai spesies burung. Ia sangat sesuai bagi mereka yang gemar akan suasana semulajadi dan bagi yang minat dengan aktiviti memerhati burung.
Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi oleh pihak pengurusan terutamanya yang berkaitan dengan masalah pencemaran air yang berpunca dari pembuangan sampah sarap dari kawasan perumahan yang berdekatan. Oleh yang demikian, keadaan seperti ini harus diberi perhatian agar tidak menjejaskan pertumbuhan pokok bakau itu sendiri. Antara langkah penyelesaian yang boleh dilakukan ialah melalui penguatkuasaan undang-undang seperti perlaksanaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang memfokuskan kepada cara pemeliharaan alam sekitar yang efektif dan efisien. Dengan adanya akta yang berkaitan, maka penerokaan terhadap kawasan bakau akan dapat dikurangkan sekaligus dapat mengelak dari kepupusan sumber pokok bakau.
Selain itu, cadangan lain yang boleh dilakukan ialah melalui pendekatan yang melibatkan orang ramai. Sebagai contohnya meningkatkan kempen kesedaran melaui pendidikan, penyelidikan dan menggiatkan penyertaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengurus sumber alam dan alam sekitar terutamanya berkaitan pemeliharaan pokok bakau. Usaha ini dapat dilakukan melalui pelbagai cara seperti kempen melalui media cetak dan elektronik, pameran dan pertunjukan , memasukkan dan memberi penekanan asas kepada subjek pengurusan alam sekitar dan kesannya terhadap alam sekitar dalam pendidikan pada peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi serta pendidikan formal untuk menanamkan kesedaran tentang pentingnya menjaga sumber alam untuk generasi akan datang.
Langkah penyelesaian lain yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah lebihan pelancong ialah pihak pengurusan boleh mengehadkan penjualan tiket dan tempat letak kereta pada satu-satu masa.

KESIMPULAN
Kesimpulannya KK Wetland merupakan sebuah pusat pelancongan yang terdapat berhampiran dengan bandaraya kota kinabalu yang berkonsepkan eko-pelancongan. Pusat pelancongan ini sesuai dijadikan tempat penyelidikan flora dan fauna kerana terdapat pelbagai tarikan flora dan fauna. Selain itu , kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pengurus pusat pelancongan ini sedikit sebanyak menjadi penarik kepada pelancong untuk datang ke sini.
Walau bagaimanapun kedatangan pelancong ke pusat pelancongan ini harus di kawal bagi memastikan burung-burung di pusat pelancongan ini tidak berasa terancam. Pihak pengurusan juga harus menyediakan notis-notis amaran bagi menbendung gejala pembuangan sampah dikalangan pelancong selain menyediakan tong sampah.








RUJUKAN
Amran Hamzah (2004). The Evolution Of The Homestay Programme In Malaysia : Performance, Sustainability And Challenges. Country Paper presented of the ASEAN Homestay Conferences.Organise by the Ministry of Tourism Malaysia, The Marriott Hotel, Putrajaya 28-30 September 2004.

Kota Kinabalu Wetland Center Off Jalan Bukit Bendera,Upper

Davison, G.W.H. & Regis, P. 1999, Pelan ekopelancongan kebangsaan Malaysia : Garis panduan untuk negeri Sabah : (The Malaysian National Ecotourism Plan : guidelines for Sabah). Kementerian Pembangunan Pelancongan. Kota Kinabalu

Inskeep, E. 1991. Perancangan Pelancongan (Tourism Planning). Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur. Di terjemahkan oleh CheElainee Che Hassan & Norlida Halim
Cater, E & Lowman, G. 1994. Ecotourism: A Sustainable Option? Royal Geographical Society (Great Britain).

No comments: