Thursday, April 29, 2010

psikologi sosial

PENGENALAN.
Permasalahan sosial yang berlaku sering kali melibatkan remaja-remaja yang berumur belasan tahun dan awal 20-an. Antara masalah sosial yang semakin menular dan sukar dibendung ialah masalah penglibatan remaja dalam kegiatan perlumbaan motosikal haram. Fenomena perlumbaan motosikal haram di Malaysia lebih dikenali dengan panggilan Mat Motor atau Mat Rempit. Fenomena ini merupakan satu masalah sosial yang agak baru di Negara kita. Mungkin aktiviti ini merupakan aktiviti yang sudah lama wujud dalam keadaan yang terselindung dan sebelum ini jarang dilaporkan. Jika diperhatikan aktiviti mat rempit mula mendapat perhatian daripada masyarakat sekitar awal tahun 2003 dan ini berikutan kebanyakan kes-kes jenayah yang berlaku banyak melibatkan golongan ini. Kemajuan teknologi dan kemudahan jaringan jalan raya yang dikecapi negara yang merupakan antara yang terbaik di Asia Tenggara menyebabkan fenomena ini juga cepat berkembang kerana sesetengan remaja dan anak muda tidak menggunakan kemudahan yang disediakan ini dengan sepatutnya.
Walau bagaimanapun kemajuan pembangunan ini bukan alasan berlakunya peningkatan penglibatan remaja dalam perlumbaan haram. Perkara ini perlu dipandang serius oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan kerana kegiatan ini menjadi semakin membimbangkan khususnya apabila didapati aktiviti yang bahaya ini turut menjejaskan keamanan dan kemakmuran yang dimiliki Negara. Selain itu aktiviti mat rempit juga mendapat perhatian dalam dunia hiburan dimana terdapat banyak filem-filem keluaran tempatan yang mengisahkan kehidupan mat rempit seperti “filem Adnan Sempit” dan “filem Rempit”. Ini menunjukkan remaja pada zaman sekarang seperti mahukan sesuatu untuk mengisi masa lapang yang terbuang.

Jika kita perhatikan daripada filem-filem ini, ia menunjukkan remaja sebenarnya tahu banyak kesan buruk yang akan berlaku kepada mereka akibat daripada penyertaan dalam gejala ini seperti kemalangan, kecederaan, dan kematian namun masih ramai lagi remaja terutamanya remaja melayu terlibat dengan gejala mat rempit dan kita dapat lihat fenomena ini semakin berkembang dari masa ke semasa. Pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) juga sering membuat operasi-operasi penangkapan pesalah-pesalah jalan raya khususnya pelumba haram seperti operasi “lumba haram”,“opps rempit” dan pelbagai lagi operasi untuk pencegahan gejala ini, namun operasi sebegini seolah-olah tidak memberi kesan kepada remaja walaupun pelbagai hukuman dan dendaan yang dikenakan seperti mengeluarkan saman dan pergantungan lesen memandu.
Walau bagaimanapun pihak kerajaan tidak mudah berputus asa dalam menangani kes mat rempit ini kerana dari masa ke semasa terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh kerajaan untuk menangani permasalan ini seperti mengalakkan remaja menyertai persatuan-persatuan yang dikendalikan oleh badan-badan kerajan dan bukan kerajaan. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit khusus untuk golongan belia dan remaja. Melalui peruntukan ini, pihak kerajaan menganjurkan pelbagai program yang berbentuk kemasyarakatan dan kepimpinan bagi merapatkan gologan remaja dengan masyarakat. Salah satu program yang berbentuk kemasyarakatan dan memulihkan atau menyedarkan remaja yang terlibat dengan kegiatan perlumbaan haram ini, ialah Program Remaja Perkasa Negara yang dikendalikan oleh Program Permata Negara yang pengerusikan oleh isteri perdana menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.


PENGENALAN PROGRAM
Program Remaja Perkasa Negara merupakan salah satu program intervensi yang dikendalikan oleh Program Permata Negara ditubuhkan bertujuan untuk memulihkan dan menyedarkan golongan remaja terutama sekali remaja yang terlibat dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram atau mat rempit. Program Remaja Perkasa Negara ditubuhkan pada September 2009 dengan kerjasama daripada badan bukan kerajaan iaitu Fitrah Perkasa Sdn.Bhd. Fitrah Perkasa Sdn.Bhd merupakan sebuah syarikat latihan dan perunding yang komited dengan usaha membangunkan sumber manusia secara holistik melalui pembentukan personaliti dan organisasi yang unggul. Syarikat Fitrah Perkasa ini mempunyai visi yang jelas iaitu untuk menjadi sebuah syarikat pembangunan sumber manusia yang bertaraf dunia dengan menyediakan latihan, bimbingan, penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja di dunia malahan turut melibatkan kecemerlangan di akhirat.Program kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta ini bertujuan untuk menempatkan golongan remaja yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral seperti kegiatan lumba motosikal haram atau mat rempit untuk menjalani pemulihan selain mendekatkan golongan remaja dengan masyarakat. Ini menunjukkan semua pihak di Negara kita memandang serius mengenai gejala tidak bermoral ini.
Sebagai permulaan, program ini dijalankan disekitar negeri Selangor yang melibatkan 50 orang remaja yang berisiko tinggi dalam masalah sosial yang berumur antara 18 hingga 25 tahun. Ini kerana statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan negeri Selangor merupakan negeri yang tertinggi mencatatkan berlakunya kes-kes perlumbaan motosikal haram atau mat rempit yang melibatkan remaja yang berumur 18 hingga 25 tahun. Program ini bertujuan untuk membolehkan remaja yang berisiko tinggi melalui proses pemulihan dan menambah kemampuan serta keyakinan diri di samping membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan remaja kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat selain menerapkan semangat cintakan Negara.
Ini kerana menerusi program ini, akan diwujudkan Program Khidmat Sosial yang akan diselaraskan dengan pesalah remaja yang dikenakan hukuman dibawah undang-undang khidmat sosial dimana melalui program ini remaja akan diwajibkan untuk mengadakan khidmat sosial di tempat-tempat terpilih.
RASIONAL PROGRAM
Mengikut perundangan, remaja yang dihadapkan ke mahkamah disebabkan melakukan pelbagai kesalahan seperti bersabit dengan mencuri, bersabit dengan masyarakat, melanggar undang-undang perbandaran, lalu-lintas dan lain-lain kesalahan akan dikenakan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat menunjukkan kesalahan juvana mengikut etnik pada tahun 2001 seperti orang melayu sebanyak 3459 kes, orang cina sebanyak 831, orang india sebanyak 614 kes dan lain-lain sebanyak 278 kes. Kesalahan juvana yang amat ketara dilakukan oleh golongan remaja ialah kesalahan yang melibatkan kesalahan kecurian harta benda misalnya mencuri kenderaan terutama motosikal.
Menurut Akta Mahkamah Juvana (Akta 90), juvana yang terlibat dengan kesalahan jenayah, juvana yang memerlukan jagaan dan perkhidmatan serta juvana yang tidak terkawal akan dihantar masuk ke institusi akhlak seperti Sekolah Tunas Bakti atau Asrama Akhlak melalui perintah Mahkamah Juvana. Biasanya, juvana adalah seorang yang berumur antara 10 hingga 18 tahun mengikut Seksyen 37 dan 12 (1)(f) Akta Mahkamah Juvana 1947. Tempoh pemulihan di Sekolah Tunas Bakti selama tiga tahun tetapi boleh dibebaskan sebelum tamat tempoh dengan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pelawat. Walau bagaimanapun proram ini menempatkan remaja yang berumur antara 18 tahun sehingga 25 tahun dan mereka tidak pernah melakukan jenayah berat.
Program ini ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan peserta dari segi kepimpinan dan jati diri. Ini kerana kebanyakan remaja yang terlibat dengan kegiatan mat rempit tidak mempunyai jati diri dan tidak memikirkan masa depan. Walaupun program ini merupakan satu program yang baru namun berdasarkan kaedah pemulihan dan intervensi yang dijalankan ia mampu untuk menjadikan program ini sebagai kaedah rawatan untuk remaja yang menghadapi masalah sosial seperti remaja yang terlibat dengan kegiatan lumba motosikal haram. Ini kerana kaedah pemulihan dan intervensi yang dijalankan adalah dikendalikan oleh pakar-pakar yang mempunyai latar belakang yang baik dan berpengalaman luas. . Apa yang menariknya mengenai program ini ialah peserta-peserta yang mengikuti program ini merupakan remaja yang tidak terlibat dengan gejala dadah. Hal ini bagi memastikan perjalanan intervensi lebih menfokuskan kepada sikap remaja yang terlibat dengan kegiatan lumba haram tanpa intervensi melibatkan penagihan dadah keatas remaja terbabit.
Selain itu, program ini hanya menempatkan remaja-remaja yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti berlumba, menggangu orang awam terutama di kawasan perumahan dan melepak sehingga lewat malam secara berulang kali dimana mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk mereka mengikuti program ini. Ini kerana jika remaja yang terlibat dengan kegiatan mat rempit ditempatkan di penjara, mereka lebih terpengaruh dengan penjenayah tegar seperti pengedar dadah, pembunuhan dan kecurian. Selain itu melalui program ini ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada remaja-remaja yang terlibat dengan kegiatan ini mengenai peranan mereka dalam masyarakat dan Negara.
Perubahan sikap dari negatif kepada positif amat penting dalam diri setiap individu dimana sikap yang positif dapat mengelakkan seseorang daripada melakukan tindakan yang negatif. Melalui program ini, pihak pengurusan kem berusaha untuk mengubah sikap mat rempit menjadi lebih bertanggungjawab dalam kalangan mereka. Seperti yang dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan, kebanyakkan mat rempit mempunyai sikap tidak menghormati orang lain malahan ada dalam kalangan mat rempit yang membuat bising di kawasan-kawasan perumahan sehingga lewat malam.
TINJAUAN KAJIAN LEPAS
Bagi menjelaskan fenomena gejala sosial seperti ini, pelbagai huraian tentang perilaku non-konformis golongan remaja Malaysia telah dikemukakan oleh pakar-pakar. Antaranya ialah faktor psikologi seperti kekecewaan hidup dan keterlepasan kawalan kuasa id serta faktor sosial seperti keadaan keluarga, kawasan perumahan, pengaruh media massa dan pengaruh rakan sebaya. Selain itu, kajian yang dilakukan oleh oleh Maura O’Kette (1995) menunjukkan pelaku-pelaku masalah sosial terdiri daripada individu yang mempunyai masalah dan kekurangan dari segi personaliti, sosiologikal dan psikologikal.
Kajian yang dilakukan Kruttschnitt (1998) berkaitan dengan devian remaja menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan mempunyai kesan yang ketara dalam pembentukan personaliti individu. Keputusan kajian menunjukkan kemungkinan anak-anak bertingkah laku devian berkurangan jika mempunyai hubungan yang intim dengan ibu bapa mereka. Manakala hubungan antara adik-beradik dilaporkan tidak mempunyai perkaitan dengan pembentukan tingkah laku devian. Silvern dan Williamsom (1987) telah menggunakan kaedah eksperimental bagi mengkaji kesan televisyen terhadap keganasan kepada kanak-kanak. Seramai 28 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun telah diuji. Hasil kajian menunjukkan kanak-kanak ini akan bertindak lebih agresif selepas menonton dan bermain permainan video yang bersifat ganas. Menurut kajian Cowan dan Walter (1963), jadual ganjaran memainkan peranan penting dalam menentukan penerusan sesuatu tingkah laku. Hasil kajian yang dilakukan menunjukkan kanak-kanak yang diberikan ganjaran secara rambang lebih cenderung untuk meneruskan tingkah laku agresifnya berbanding dengan kanak-kanak yang diberikan ganjaran secara berterusan.
Keseimbangan ganjaran dengan kos yang terlibat dalam devian menentukan berlakunya pengulangan tingkah laku devian. Keakraban ibu bapa dan komitmen terhadap ajaran agama dapat mengelakkan remaja daripada terus terjerumus dalam delikuensi. Pengaruh rakan sebaya terbukti mempunyai hubungan yang positif dengan kekerapan remaja melakukan delikunsi. Dua perseptif yang menerangkan pengaruh rakan sebaya dalam kelakuan devian ialah rakan sebaya yang menggalakkan tingkah laku devian atau pemilihan rakan sebaya berdasarkan criteria dan personaliti yang sama. Personaliti yang selari membawa kepada persefahaman dan pembentukan perlakuan yang sama.
PENDEKATAN TEORI MENGENAI GEJALA MAT REMPIT.
Terdapat beberapa teori yang boleh menghuraikan fenomena ini iaitu personaliti, teori psikoanalisis dan teori pembelajaran sosial. Dari segi personaliti, terdapat pelbagai penjelasan dan dimensi yang wujud dalam personaliti manusia khususnya yang berkaitan dengan keterlibatan dalam masalah sosial. Dalam teori personaliti, Eysenck (1964) telah mengemukakan tiga jenis dimensi personaliti iaitu extrovensi lawan introvensi (E), neurotisme lawan emosi stabil (N), dan psikotisisme lawan kawalan impuls (P). selain itu, Shultz dan Shultz (1998) ada menyatakan bahawa mereka yang mempunyai tret personaliti E yang tinggi adalah ekstrovert iaitu lebih kepada dunia luar, suka bersosial, mengikut kehendak hati dan dominan, manakala introvert pula berkelakuan sebaliknya. Eysenck dan Wilson (1996) menyatakan ekstrovert (E) adalah bagi individu yang suka bersosial, bertenaga, suka bergaul, tidak runsing, impulsive, asertif, aktif secara fizikal dan optimistic, manakala introvert pula bersikap lebih senyap, pasif, berhati-hati, bertimbang rasa, aktif secara mental dan persimistik. Selain itu, Shultz dan Shultz (1998) turut menyatakan neurotisisme (N) sebagai tret individu yang murung, tidak rasional, cemas dan tegang. Manakala bagi tret psikotisisme (P) pula merujuk kepada individu yang bersifat ganas, anti sosial, berfikiran tegas, dingin dan pentingkan diri sendiri. Mereka turut zalim, bermusuhan dan tidak sensitive kepada perasaan orang lain.
Teori Psikososial
Teori oleh Chien (1984) dan diperkukuhkan oleh Huizinga, Loeber & Thornberry (1994) yang menunjukkan peningkatan gang dan remaja berpeleseran akan meningkatkan vandalisme dan penagihan dadah. Kekukuhan kesatuan dan keupayaan bertindak liar dan mempertahankan kehendak ahli dilihat kekuatan remaja bergerak secara kumpulan. Mereka lebih cenderung melakukan keganasan dan jenayah di samping mempertahankan keutuhan bekalan dadah. Hubungan tingkahlaku vandalisme dan penyalahgunaan dadah di pengaruhi oleh beberapa faktor termasuk aspek harga diri, rakan sebaya, keluarga, masyarakat dan institusi kekeluargaan (Chein, 1984). Remaja yang sering bertindak liar mempunyai kaitan dengan harga diri yang rendah dan penyalahgunaan dadah, tahap keyakinan diri yang rendah, memberontak terhadap masyarakat (Brady et al., 1995; Brody, 1990; Fagan & Chin, 1990).




INTERVENSI YANG DIJALANKAN SEMASA PROSES PEMULIHAN
Institusi pemulihan merupakan satu institusi akhlak yang diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat. Institusi ini ditubuhkan dibawah Akta Mahkamah Juvana 1947. Walau bagaimanapun Program Remaja Perkasa Negara merupakan program yang dikendalikan oleh Program Permata Negara yang bertanggungjawab untuk memulihkan remaja yang berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun melalui intervensi-intervensi yang dijalankan.
Intervensi yang dijalankan dalam program ini ialah remaja yang dipilih akan ditempatkan di dalam kem antara dua minggu sehingga enam bulan. Ini bagi membolehkan remaja yang dipilih menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang lebih bermakna dan berkesan dalam menjalani rawatan intervensi. Di dalam kem ini, remaja-remaja ini dikehendaki menjalankan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam dua modul iaitu modul sokongan dan modul khas bergantung kepada sejauh mana penglibatan remaja ini dalam kegiatan mat rempit.
MODUL SOKONGAN
Dalam modul sokongan terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan yang bertujuan untuk memberi sokongan kepada peserta-peserta dimana dalam modul ini tertumpu kepada kesedaran untuk mengubah sikap. Berdasarkan kajian-kajian lepas, kebanyakan remaja-remaja yang terlibat dengan kegiatan mat rempit ini mempunyai sikap pentingkan diri, inginkan kebebasan dan tidak suka kepada konkongan. Selain itu kesedaran mengubah sikap ini penting kepada remaja yang terlibat dalam kegiatan perlumbaan motosikal haram kerana perubahan sikap remaja ini kepada positif akan menbolehkan aktiviti setrusnya dijalankan. Dalam modul sokongan juga terdapat aktiviti dimana fasilitator akan membantu peserta-peserta membentuk keyakinan diri. Ini kerana kebanyakan remaja yang terlibat dalam kegiatan lumba motosikal haram ini mempunyai keyakinan diri yang rendah sehingga mereka ini mudah untuk terpengaruh dengan ajakan daripada rakan mereka. Selain itu ada juga remaja-remaja yang terlibat dengan kegiatan ini merasakan diri mereka tidak dipedulikan oleh masyarakat setempat.
Dalam modul sokongan juga, peserta-peserta akan menjalani intervensi dimana mereka ini dikehendaki menetapkan visi dan misi hidup yang jelas. Kajian-kajian lepas menunjukkan remaja-remaja yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas. Mereka tidak memikirkan masa depan dan sering berputus asa apabila gagal dalam sesetengah perkara. Selain itu kebanyakan remaja-remaja ini mempunyai kemahiran dan kebolehan tertentu tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mengembangkan bakat yang mereka miliki. Berdasarkan modul ini, fasilitator akan membantu mereka cara bagaimana untuk mencapai visi dan misi hidup yang ditetapkan. Akhir sekali melalui modul ini remaja-remaja akan didedahkan dengan kecemerlangan menerusi perubahan sikap yang positif.
MODUL KHAS
Dalam modul khas, terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dalam program ini. Aktiviti-aktiviti dalam modul khas ini dijalankan setelah peserta menjalani kesemua aktiviti dalam modul sokongan dan peserta juga menujukkan perubahan yang positif. Dalam modul khas ini peserta-peserta akan didedahkan dengan kominiti dimana terdapat aktiviti khidmat komuniti dalam modul ini. Dalam aktiviti khidmat komuniti, peserta akan menyertai masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong membersihkan kawasan, dan bersama-sama penduduk tempatan untuk memajukan komuniti tersebut. Dalam modul ini peserta akan diberikan kumpulan dan setiap kumpulan akan dibantu oleh seorang pengajar dimana pengajar ini akan membawa kumpulan kecil ini ke kawasan yang terpilih. Melalui aktiviti ini ia mampu untuk melahirkan peserta yang bersikap bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan Negara. Selain itu juga bertujuan untuk melahirkan sikap kesukarelaan dalam komuniti.
Setelah remaja ini menjalankan aktiviti khidmat komuniti peserta-peserta akan terlibat dalam aktivitri rekreasi seperti berkayak, mengadakan sukan. Ini bertujuan untuk melahirkan remaja yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental. Melalui aktiviti rekreasi ini juga peserta-peserta akan didedahkan sikap berkerjasama antara kumpulan dan memupuk sikap saling memerlukan antara satu sama lain.
KELEMAHAN PROGRAM REMAJA PERKASA NEGARA
Setiap program dan intervensi yang dijalankan mesti mempunyai kelemahan atau masalah tersendiri sama ada kelemahan itu datang dari pihak pengurusan atau pennyertaan dalam program tersebut. Program Remaja Perkasa Negara juga mempunyai kelemaha-kelemahan dalam penyertaan remaja. Ini kerana adalah sukar untuk menetukan remaja-remaja yang terlibat dalam kegiatan perlumbaan motosikal haram ini tidak terlibat dengan dadah. Ini kerana kebanyakkan remaja yang terlibat dalam kegiatan ini terdedah kepada pengambilan dadah sama ada secara tidak lansung ataupun secara lansung.
Selain itu terdapat juga ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka menyertai proram ini dengan alasan anak mereka tidak melakukan kesalahan jenayah berat dan untuk menjaga maruah keluarga kerana malu jika anak mereka menyertai program ini mereka akan dipandang serong oleh masyrakat.




KESIMPULAN
Golongan remaja hari ini mempunyai persepsi dan jangkaan sosial objektif, subjektif dan nilai sahsiah diri yang bersifat dua hala. Mereka mahu ibu bapa, ahli keluarga, rakan taulan dan masyarakat sekitar mereka memberi kebebasan dan kepercayaan kepada mereka dalam mengendalikan kehidupan harian. Kawalan dan pengawasan keluarga sangat penting dalam mencegah remaja daripada terlibat dengan salah laku sosial yang negative seperti penularan gejala mat rempit. Kawalan dan pengawasan yang berbentuk family friendly amat diperlukan bagi membolehkan remaja merasai diri mereka dihargai, dipercayai dan disayangi. Selain itu badan-badan bukan kerajaan(NGO) perlu bersama-sama pihak kerajaan untuk sama-sama membendung gejala tidak bermoral ini dengan menganjurkan program-program yang boleh mendekatkan remaja dengan masyarakat dan memuput sikap bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri malahan kepada agama, nusa dan bangsa.
Hukuman seperti menpenjarakan individu yang terlibat dengan kegiatan mat rempit bukan satu jalan penyelesaian baik kerana kesan jangka panjang lebih parah lagi apabila individu yang terlibat dalam kegiatan ini dipenjarakan mereka akan terdedah dengan penjenayah tegar dan perkara ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada golongan mat rempit ini untuk melakukan jenayah berat setelah mereka keluar dari penjara dan mereka ini tidak diterima dalam masyarakat. Selain itu, ibu bapa dan ahli keluarga tidak perlu bimbang dengan program yang dilaksanakan kerajaan kerana ia bertujuan untuk membantu remaja-remaja kembali ke pangkal jalan.



RUJUKAN
Atwater, E.,1992. Adolescene. Kelima. London: Prentice Hall.
Bynum,J.E.,2001. Juvenile Delinquency: A Sociological Approach. Edisi Kelima. Toroto Allyn and Bacon
Habibah Elias dan Ruhil Hj. Muhyiddin,1990.Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kruttschnitt C. Health. L. dan Ward. D.A., 1986. “Family Violence, Television Viewing Habit, and Adolescent Experiences Related to Violent Criminal Behavior” dlm. Criminology.
MceWan A.W .,1983.”Eysenck’s Theory Of Criminality and the Personality Types and Offences of Young Delinquents” dlm. Journal of Personality and Individual Differences.
Rozmi Ismail, 2005, Perlumbaan Motorsikal Haram di Kalangan Remaja, dalam prosiding Seminar Penyelidikan dan Pembangunan Generasi Muda UKM-KBS, 13-14 Disember, 2005, UKM, Bangi, m/s 315-326.
Akta Pengankutan Jalan.1987. Memandu secara melulu dan membahayakan (pindaan 1999).Perkara 42.
http://forum.autoworld.com.my/index.php?showtopic=91084&pid=1488450&mode=threaded&start=#entry1488450
http://forum.autoworld.com.my/index.php?showtopic=91084&pid=1483286&mode=threaded&start=#entry1483286
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. http://www.jkm.gov.my/mel/statistikml.htm (16/2/2010)
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. http://www.jkm.gov.my/mel/aktamj.htm (16/2/2010)

No comments: