Tuesday, June 21, 2011

“KECERDASAN EMOSI DAN TEKANAN MENJALANI LATIHAN SERTA HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK (PNGK&PNGS) DALAM KALANGAN PELAJAR YANG MENGAMBIL KOKURIKULUM PALAPES DARAT DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH”
ABSTRAK:
BAB 1 : PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Ketika Konfrantasi Malaysia Indonesia pada April 1965, Universiti Malaya (UM) telah menubuhkan Batalion Infantri Askar Wataniah Universiti Malaya (Bn Inf AW UM) bagi menyahut seruan kerajaan mempertahankan negara dari ancaman luar. Apabila meletusnya Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969, mahasiswa tampil mempertahankan negara dengan penubuhan Bn Inf AW Institut Teknologi MARA (ITM) kini Universiti Teknologi Mara (UiTM). Markas (MK) dan Kompeni (Komp) A Batalion Infantri ini terletak di ITM manakala Komp B berada di Kolej Pertanian Serdang kini Universiti Putra Malaysia (UPM). Komp C kemudiannya ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Susulan dari peristiwa inilah, program PALAPES dilahirkan dengan iltizam sebagai satu program nasional melalui Kementerian Pertahanan yang berperanan untuk melatih bakal-bakal pegawai lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pertahanan negara.
PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan setelah ditukar dari nama asalnya iaitu ROTU atau Reserve Officer Training Unit. Penubuhan PALAPES mula diusahakan oleh Brig Jen Dato’ Abul ‘As bin Ismail, Pengarah Askar Wataniah dalam tahun 1979. Beliau telah berusaha menemui Naib-Naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM @UiTM ketika itu bagi merealisasikan idea penubuhan pasukan ini. Kerjasama erat dan persetujuan antara IPTA, Kementerian Pendidikan kini Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan telah membuka era baru dalam sejarah pertahanan Negara pada ketika itu.
Pada tahun 1996 Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyahut seruan kerajaan dengan penubuhan PALAPES Darat. Kini PALAPES merupakan salah satu kompenen badan penyelamat dan badan beruniform dalam kursus kokurikulum yang ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Walaupun pada peringkat awal, PALAPES ditubuhkan bertujuan untuk menampung keperluan pegawai dalam Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD), namun kini terdapat kecenderungan dalam kalangan mahasiswa untuk menjadikan PALAPES sebagai satu sumber tenaga manusia pelbagai perkhidmatan, samada sebagai anggota tentera, swasta atau awam. PALAPES juga merupakan penyumbang penting dasar pertahanan negara untuk membentuk nisbah tiga pegawai angkatan simpanan bagi setiap satu pegawai angkatan tetap.
Hal ini meyebabkan segelintir pelajar Universiti khususnya pelajar UMS menyertai kokurikulum PALAPES bukan sahaja sebagai pelengkap kepada kursus kokurikulum malahan sebagai pekerjaan alternatif selepas mereka tamat pengajian iaitu sebagai pegawai simpanan angkatan tentera yang boleh berkhidmat di mana-mana cawangan Rejimen 500 Askar Wataniah di seluruh negara. Ini kerana pelajar yang memilih untuk meyertai PALAPES sebagai kokurikulum, mereka berpeluang untuk ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong setelah mereka tamat menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Disamping itu pelajar yang menyertai kokurikulum PALAPES juga berpeluang memperolehi beberapa keistimewaan yang diberikan oleh kementerian pengajian tinggi, kementerian pertahanan dan pihak universiti seperti keistimewaan mendapat kolej kediaman dan mendapat elaun semasa menjalani latihan berbanding dengan mahasiswa yang mengambil kokurikulum lain. Kokurikulum PALAPES juga menawarkan enam jam kredit dimana setiap satu jam kredit akan diberikan pada setiap semester berbanding dengan kokurikulum lain yang hanya menawarkan tiga jam kredit untuk satu semester sahaja. Kini terdapat 13 IPTA di seluruh Negara yang menawarkan kokurikulum PALAPES kepada pelajar-pelajar universiti.
Walau bagaimanapun, kokurikulum PALAPES merupakan kokurikulum yang amat mencabar yang memerlukan kesabaran, komitmen, kewibawaan dan kemampuan dari pelajar yang menyertainya dimana pelajar-pelajar yang meyertai kokurikulum ini harus memiliki ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Ini kerana latihan yang dijalankan dalam kokurikulum PALAPES pada setiap hujung minggu dan akhir semester merupakan latihan yang berbentuk ketenteraan dimana ia lebih tertumpu kepada aspek pengendalian senjata individu dan teknik-teknik asas taktik. Selain itu, pelajar-pelajar juga akan diberikan dengan gelaran “pegawai kadet” sepanjang mereka mengikuti kokurikulum ini seperti mana gelaran yang diberikan kepada mereka yang menuntut di maktab ketenteraan. Pegawai kadet PALAPES akan menjalani kehidupan sama seperti anggota tentera semasa mereka berada di Universiti seperti terikat dengan disiplin tentera disamping perlu menjaga pencapaian akademik mereka sepanjang mereka menuntut ilmu di Universiti.
Sehubungan dengan itu pengaruh emosi amat besar dalam mewarnai hubungan sesama pegawai kadet PALAPES dan mahasiswa lain dalam menjalani kehidupan di universiti. Emosi meliputi pelbagai perasaan seperti sayang, gembira, malu, sedih, kecewa, bimbang dan sebagainya. Kehidupan manusia dipengaruhi oleh kewujudan emosi yang menentukan tingkahlaku. Sejajar dengan itu kecerdasan emosi dikaitkan dengan kemampuan mengawal emosi terutamanya dalam persekitaran yang didiami.
Perkataan emosi itu sendiri berasal daripada Greek, iaitu, “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Emosi yang dizahirkan oleh manusia adalah satu bentuk tindakan yang memenuhi kepuasan diri individu berkenaan. Ia juga boleh dikatakan sebagai satu keadaan di mana perasaan yang ditunjukkan pada proses fisiologi dan psikologi seseorang individu. (Mohd Nazar Mohamad, 1992).
Menurut Goleman (1995), tahap kecerdasan emosi seseorang individu merupakan faktor utama kepada penentuan kejayaan seseorang individu. Golemen berpendapat bahawa kecemerlangan seseorang individu adalah bergantung kepada 20% daripada kecerdasan intelek dan 80% lagi adalah bergantung kepada pengurusan emosi secara berkesan. Ini jelas menunjukkan bahawa tahap “pengurusan emosi” yang baik adalah faktor yang amat dititkberatkan dalam kehidupan seseorang individu yang berjaya (Zainuddin, 2000).
Sementara itu tekanan (stress) merupakan tindak balas fizikal, fisiologikal dan psikologikal yang berlaku dalam diri seseorang yang berpunca atau diakibatkan oleh suasana yang dihadapi yang dianggap mengancam atau mencabar. Tekanan semasa menjalani latihan lasak pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada keletihan, sikap suka mengelak dan pengabaian kepada akademik. Tindakbalas penyesuaian tekanan merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit kepala, tekanan darah tinggi) dan berkait rapat dengan sikap pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur. Suasana di tempat menjalani latihan yang mempunyai persekitaran yang buruk turut menyumbang kepada faktor tekanan dan seterusnya membawa kemurungan dan keinginan untuk berhenti dari terus menjalani latihan yang lasak dan seterusnya turut menjejaskan pencapaian akademik pegawai kadet PALAPES.
Individu tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat menumpukan perhatian kepada sesi pembelajaran dan seterusnya akan menjejaskan pencapaian akademik mereka. Keadaan ini boleh menjejaskan komitmen pegawai kadet keseluruhannya kepada latihan dan bidang akademik. Jika dibandingkan dengan kokurikulum lain, kokurikulum PALAPES merupakan suatu kokurikulum yang penuh dengan tekanan dan menguji tahap kesabaran pegawai kadet. Selain itu kokurikulum PALAPES juga dikatakan mempunyai aspek negatif seperti keletihan semasa menjalani latihan, kurangnya rasa hormat, urusan dokumentasi yang banyak, latihan yang berterusan pada musim cuti semester,dan pendedahan kepada kecederaan.
Menyedari hakikat latihan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pegawai kadet PALAPES, satu aspek yang tidak kurang pentingnya dan perlu ditekankan ialah keupayaan mereka mengurus kecerdasan emosi, bagi mengurangkan tekanan semasa menjalani latihan dalam menghadapi cabaran kerana mereka bukan sahaja perlu memberi komitmen kepada kokurikulum PALAPES malahan kepada pencapaian akademik mereka semasa berada di Universiti. Selain itu sebagai sebuah organisasi yang berteraskan disiplin dan memerlukan kerjasama antara pegawai kadet, program PALAPES amat menuntut komitmen yang tinggi dalam kalangan pegawai kadet. Oleh yang demikian kajian ini wajar dilaksanakan bagi mengenalpasti tahap kecerdasan emosi, tahap tekanan menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik dalam kalangan pegawai kadet PALAPES.

1.2 Permasalahan kajian

Kokurikulum PALAPES merupakan satu kokurikulum yang berbentuk badan beruniform yang ditubuhkan di 13 IPTA seluruh Negara. Universiti Malaysia Sabah yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam turut menawarkan kokurikulum PALAPES kepada pelajar-pelajar yang mempunyai kewarganegaraan tetap (Malaysia). Pelajar-pelajar yang mengikuti kokurikulum PALAPES akan menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester dan dibahagikan kepada tiga peringkat mengikut tahun pengajian. Tahun pertama sebagai Peringkat I (junior lever) tahun
kedua sebagai Peringkat II (Intermediate Level) dan tahun ketiga sebagai Peringkat III (Senior Level).
Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti kokurikulum PALAPES, ia adalah dianggap satu keistimewaan kerana akan mereka dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kementerian pertahanan dan pihak Universiti. Pelajar yang mengikuti kokurikulum PALAPES akan diberi gelaran dengan “Pegawai Kadet”. Pegawai kadet PALAPES akan mendapat keistimewaan seperti kolej kediaman, wisma pegawai kadet, menyertai perbarisan konvokesyen, mendapat elaun semasa menjalani latihan dan “bounty” atau bonus hujung tahun, berpeluang ditauliahkan oleh Yang Di Pertuan Agong dan melancong dalam dan luar Negara serta menghadiri Majlis Makan Malam Rejimental. Keistimewaan ini tidak mungkin dapat dinikmati oleh pelajar-pelajar yang mengikuti kokurikulum lain.
Kokurikulum PALAPES amat senonim dengan setiap angotanya yang saling berkerjasama atau kerja berpasukan dan berdisiplin. Kebanyakkan program-program yang dianjurkan oleh pihak Universiti akan disertai oleh pegawai-pegawai kadet PALAPES. Ini kerana kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap anggota pegawai kadet amatlah dikagumi oleh pihak Universiti. Dari segi disiplin, pegawai kadet PALAPES dilatih untuk menghargai masa dan berpakaian kemas. Jadi tidak hairanlah jika pegawai kadet PALAPES menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain dalam etika berpakaian.
Sememangnya terdapat banyak keistimewaan dan kelebihan yang dapat diperolehi oleh pegawai kadet PALAPES setelah mereka menyertai pasukan ini namun keistimewaan dan kelebihan ini terpaksa dibayar dengan latihan-latihan yang perlu dihadiri oleh pegawai kadet sepanjang mereka berkhidmat dengan pasukan ini. Latihan-latihan yang mereka jalani ini amat menguji ketahanan mental dan fizikal. Keseluruhannya latihan yang dilaksanakan adalah peningkatan dari satu peringkat ke peringkat seterusnya. Jenis-jenis latihan yang dijalankan adalah seperti berikut iaitu Latihan Tempatan (LT) selama 120 jam atau 12 hari satu semester Latihan Lanjutan (LJ) selama14 hari setahun dan Latihan Kem Tahunan (LKT) selama 15 hari setahun.
Walau bagaimanapun, kebiasaannya pelajar-pelajar yang mengikuti kokurikulum PALAPES perlu mengikuti latihan dua kali seminggu yang biasanya dijalankan pada hari sabtu dan ahad di kawasan markas PALAPES yang terletak di dalam kawasan Universiti. Pegawai kadet akan mula menjalani latihan melebihi 10 jam setiap kali latihan dimana pegawai kadet akan memulakan latihan seawal jam 0600 pagi sehingga jam 1900 malam. Di samping itu, pegawai kadet juga perlu menghadiri perjumpaan yang dinamakan “rocoll” pada malam sebelum latihan dijalankan. Pada kebiasaannya, pegawai kadet perlu hadir secara berkumpulan dalam perjumpaan tersebut kerana kokurikulum ini amat mementingkan kerjasama antara anggota pegawai kadet.
Kokurikulum PALAPES turut mempunyai etika tersendiri dimana setiap pegawai kadet harus menghormati dan memberi taat setia kepada pasukan PALAPES disamping pegawai kadet peringkat I(junior level) perlu menghormati dan melakukan apa yang disuruh oleh pegawai kadet peringkat II(intermediate level) dan pegawai kadet peringkat III(senior level). Pegawai kadet PALAPES juga harus memberikan komitmen yang sepenuhnnya kepada bidang pengajian mereka (pencapaian akademik) kerana pencapaian akademik akan menentukan kedudukan pegawai kadet untuk ke peringkat seterusnya. Dalam erti kata lain setiap pegawai kadet mesti melepasi had pencapaian akademik yang telah ditetapkan oleh pihak PALAPES dan Universiti untuk melayakkan mereka ke peringkat lebih tinggi. Ini kerana jika pegawai kadet PALAPES tidak mencapai had pencapaian akademik, mereka akan dinasihatkan untuk keluarkan daripada kokurikulum PALAPES.
Walaubagimanapun, tekanan latihan yang dialami oleh seorang pegawai kadet adalah berbeza-beza mengikut pangkat dan tahun pengajian yang mereka duduki. Pangkat-pangkat yang diberikan kepada pegawai kadet terpilih adalah seperti Pegawai Rendah Kanan (PRK), Pegawai Rendah Muda (PRM), Sarjan, Kopral, Lans Kopral dan Yang Di Pertua Peringkat(YDP). Mereka yang mempunyai pangkat akan mengalami lebih banyak tekanan berbanding mereka yang tidak mempunyai pangkat. Ini kerana mereka yang mempunyai pangkat akan lebih banyak berurusan dengan jurulatih-jurulatih PALAPES selain perlu memberi komitmen kepada bidang pengajian mereka, ditambah lagi dengan ragam pegawai kadet lain yang tidak mempunyai pangkat.
Selain itu, pegawai kadet peringkat junior dikatakan lebih banyak mengalami tekanan berbanding dengan pegawai kadet peringkat intermediate dan senior. Ini kerana pegawai kadet peringkat junior, akan berdepan dengan pegawai-pegawai kadet peringkat intrmediate dan senior. Kebiasannya pegawai kadet peringkat junior perlu menghormati pegawai kadet peringkat intermediate dan senior dimana mereka akan melalui proses untuk mengubah diri mereka menjadi pegawai kadet yang berdisiplin dan menghormati pegawai atasan. Mereka akan dipanggil setiap malam oleh pegawai kadet peringkat intermediate dan senior tanpa mengira waktu untuk menguji ketahanan mental pegawai kadet peringkat junior ini. Ini berbeza dengan tekanan yang dihadapi oleh pegawai kadet peringkat intermediate dan senior. Bagi pegawai kadet peringkat intermediate dan senior, mereka lebih banyak mengalami tekanan apabila mereka berhadapan dengan jurulatih dan pegawai atasan semasa mereka menjalani latihan. Di samping itu mereka juga meghadapi tekanan semasa menyiapkan tugasan yang diberikan oleh jurulatih seperti tugasan menyiapkan perintah mara, serangan, pertahanan dan pengunduran. Ini kerana mereka perlu menyiapkan perintah ini dalam masa yang ditetapkan disamping kemudahan untuk melakukan tugasan ini tidak mencukupi.
Semasa dalam latihan juga pegawai kadet turut menghadapi tekanan dimana mereka terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa. Mereka terpaksa turun menjalani latihan seawal jam 0530 pagi secara berkumpulan. Pegawai kadet akan berbaris sebelum memulakan latihan jasmani. Kebiasaannya latihan jasmani akan dijalankan pada jam 0700 pagi selama lebih kurang satu jam sebelum pegawai-pegawai kadet menikmati sarapan pagi. Setelah selesai menikmati sarapan pagi, pegawai kadet akan memasang khemah dan menyediakan kelengkapan-kelengkapan lain seperti kerusi, LCD, computer dan white board sebelum kelas bermula. Kebiasaanya masa yang diperuntukan adalah selama satu jam sebelum kelas bermula. Hal ini menyebabkan kebanyakkan pegawai kadet tidak sempat membersihkan diri selepas latihan jasmani kerana kemudahan yang disediakan kurang mencukupi. Mereka terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa. Selain itu masa pembelajaran juga adalah panjang iaitu dari jam 0900 pagi sehingga jam 1700 petang.
Walau bagaimanapun pegawai kadet akan berehat selama satu jam iaitu pada jam 1300 sehingga jam 1400. Selepas tamat pembelajaran di dalam kelas, pegawai kadet akan beriadah pada sebelah petang. Masa yang diperuntukkan untuk mereka beriadah adalah selama satu jam iaitu dari jam 1700 sehingga jam 1800. Selepas beriadah mereka akan makan malam dan membersihkan kawasan markas PALAPES sebelum mereka pulang ke kolej kediaman. Kebiasaannya pegawai kadet akan sampai di kolej kediaman pada jam 2100. Bagi pegawai kadet yang mempunyai kuliah pada keesokkan harinya sememangnya mereka akan mengalami tekanan dan tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya pada pembelajaran mereka. Selain itu bagi pegawai kadet yang mempunyai kelas ganti pada hari sabtu dan ahad turut mengalami tekanan sama ada untuk menghadiri kelas ganti ataupun menghadiri kelas PALAPES.
Tekanan menjalani latihan mingguan yang dihadapi lazimnya mempunyai hubungan dengan tahap kecerdasan emosi yang rendah yang berkait pula dengan pencapaian akademik pegawai kadet. Sehubungan dengan itu bertepatan dengan tujuan kajian ini dijalankan ialah untuk mengenalpasti tahap kecerdasan emosi, tahap tekanan menjalani latihan, tahap pencapaian akademik serta hubungan kecerdasan emosi, tekanan menjalani latihan dengan pencapaian akademik dalam kalangan pegawai kadet PALAPES Universiti Malaysia Sabah.

1.3 Objektif kajian

Tahap kecerdasan emosi dapat mempengaruhi setiap tindakan dan pencapaian individu dalam melakukan tugasan yang diberikan. Tekanan daripada menjalani latihan turut menentukan tahap kecerdasan seseorang individu lebih-lebih lagi jika seseorang itu masih menuntut atau belajar. Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti kokurikulum PALAPES kecerdasan emosi amatlah penting dalam menentukan tahap pencapaian akademik mereka. Berdasarkan kajian ini tujuan sebenar adalah:
1.3.1 Untuk mengenalpasti perbezaan kecerdasan emosi (menyedari emosi sendiri, mengawal emosi sendiri, mengetahui motivasi orang lain, hubungan sosial) tahap tekanan menjalani latihan dan pencapaian akademik dalam kalangan pegawai kadet PALAPES.
1.3.2 Untuk mengenalpasti perbezaan kecerdasan emosi (menyedari emosi sendiri, mengawal emosi sendiri, motivasi diri, mengetahui emosi orang lain, hubungan sosial) dalam kalangan pegawai kadet PALAPES dari segi demografi (tahun pengajian)
1.3.3 Untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES dari segi demografi (tahun pengajian)
1.3.4 Untuk mengenalpasti hubungan kecerdasan emosi (menyedari emosi sendiri, mengawal emosi sendiri, motivasi diri, mengetahui emosi orang lain, hubungan sosial) dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.
1.3.5 Untuk mengenalpasti hubungan tekanan menjalani latihan mingguan dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.

1.4 Rasional kajian
Kecermerlangan dalam akademik oleh pelajar-pelajar Universiti banyak dipengaruhi oleh kecerdasan emosi yang stabil. Terdapat beberapa rasional kajian ini dijalankan. Antaranya adalah:
1.4.1 Dapat memberi maklumat kepada jurulatih-jurulatih PALAPES, para kaunselor,pihak pentadbiran PALAPES dan Universiti serta semua pihak yang berminat untuk mengetahui isu kecerdasan emosi pegawai kadet semasa menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik mereka.
1.4.2 Mengupas persoalan yang timbul kesan daripada masalah akademik yang dihadapi oleh pegawai kadet PALAPES dan kekerapan menjalani latihan. Dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu pihak pengurusan PALAPES dan Universiti untuk merancang dan melaksanakan program-program yang dapat membantu pegawai kadet dan mengetahui hubungan kecerdasan emosi semasa menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik mereka.
1.4.3 Dapat memberi maklumat kepada pegawai kadet sendiri mengenai tahap kecerdasan emosi mereka semasa menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik mereka.
Diharapkan melalui kajian ini, ia dapat memberikan maklumat dan sumbangan mengenai isu kecerdasan emosi pegawai kadet untuk dijadikan bahan rujukan kepada pihak tertentu yang menfokuskan kajian tentang kecerdasan emosi terutama dalam kalangan pelajar yang memilih badan beruniform sebagai kokurikulum mereka semasa menuntut di Universiti.
1.5 Kajian lepas
Bahagian ini membincangkan dapatan kajian lepas yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji berhubung dengan aspek kecerdasan emosi (EQ),tekanan menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik yang diperolehi dari dalam dan luar negara. Kajian-kajian tempatan yang telah dijalankan merangkumi bidang sosial, kepimpinan, dan pendidikan. Manakala kajian-kajian luar Negara yang telah dijalankan banyak menumpukan kepada aspek-aspek pengurusan dan kepimpinan organisasi serta bidang pendidikan.
5.1 Kajian Lepas Kecerdasan Emosi:
Kajian yang dijalankan oleh Reimy Suriani (2001) di 10 buah fakulti yang terdapat di UTM, Skudai yang mana bertujuan untuk mengenalpasti tahap kecerdasan emosi dan permasalahan pelajar UTM, Skudai pula mendapati bahawa tahap kecerdasan emosi seseorang tidak semestinya disebabkan oleh masalah yang mereka hadapi. Beliau mendapati bahawa hubungan di antara kecerdasan emosi dengan permasalahan pelajar adalah sangat lemah. Ini bermakna seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang tinggi tidak semestinya mereka tidak mempunyai masalah dan begitu juga seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah tidak semestinya mereka mempunyai masalah yang tinggi.
Zainuddin (2000) telah menjalankan satu kajian tentang kecerdasan emosi (EQ) yang bertujuan untuk melihat hubungan antara EQ dengan kepimpinan. Kajian dijalankan ke atas 45 orang responden dari kalangan pemimpin-pemimpin pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor. Hasil kajian mendapati tahap EQ pemimpin-pemimpin pelajar secara keseluruhannya adalah tinggi, iaitu 73% daripada 45 orang responden mempunyai tahap EQ yang tinggi. Selebihnya iaitu 26.7% daripada 45 orang responden mempunyai tahap EQ yang sederhana. Tidak terdapat seorang pun dari jumlah responden berada pada tahap EQ yang rendah. Keputusan kajian menunjukkan terdapat hubungan di antara EQ dan kepimpinan. Keseluruhan pelajar UTM mempunyai tahap EQ yang tinggi terutamanya untuk sub-skala kesedaran diri, mengawal diri dan empati. Manakala sub-skala yang lain walaupun mempunyai nilai yang rendah tetapi masih lagi mempunyai EQ yang positif atau tinggi.
Kajian kecerdasan emosi (EQ) oleh James Poon (2002) menjalankan kajian ke atas 101 orang pegawai yang berkhidmat di Singapura. Ujian ditadbir menggunakan soal selidik The Emotional IQ Test yang dibina oleh John Mayer, Peter Salovey dan David Caruso. Tujuan kajiannya adalah untuk melihat sama ada wujud perbezaan yang signifikan di antara tahap kecerdasan emosi pegawai-pegawai yang berkelulusan dari universiti tempatan dengan universiti luar negara. Menurut pengkaji, sesetengah majikan memberikan peluang yang lebih baik kepada individu yang berkelulusan dari universiti luar negara dalam permohonan sesuatu jawatan serta mereka ini dikatakan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencapai kejayaan di masa hadapan. Pengkaji ingin melihat adakah latar belakang pendidikan mempengaruhi tahap kecerdasan emosi mereka.
1.5.2 Kajian Lepas Tekanan Menjalani Latihan
Walaupun sukar untuk mendapat kajian lepas yang berkaitan dengan tekanan menjalani latihan terutama dalam kalangan pelajar universiti, namun pengkaji cuba mendapat kajian lepas berkaitan dengan tekanan kerja. Ini kerana latihan yang di laksanakan oleh pegawai kadet PALAPES boleh dianggap sebagai pekerjaan kerana mereka akan mendapat bayaran atau elaun setiap kali mereka menjalani latihan PALAPES.
Kajian Adlin Ahmad (2000) mengenal pasti faktor yang mempengaruhi dan yang berkaitan dengan tekanan kerja di kalangan pegawai penyiasat. Faktor yang dikatakan boleh menjadi penyebab kepada stres dalam kajian tersebut ialah persekitaran atau tempat kerja, ciri-ciri kerja, suasana di rumah, beban kerja dan agihan tugas yang dialami.
Sementara itu dalam kajian Che Azimah (2005) yang menjalankan kajian mengenai tekanan kerja di kalangan anggota polis di Daerah Machang Kelantan. Kajian juga mendapati perbezaan tekanan kerja berdasarkan faktor-faktor demografi. Seramai 60 orang respondan yang terdiri daripada 16 orang perempuan dan 44 orang lelaki telah dipilih secara rawak. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan dari segi umur, taraf akademik, masa bekerja dan status perbezaan dalam kalangan anggota polis.
Menurut Kinder dalam Woo Seaw Fun (2008) juga mendapati tempoh perkhidmatan memberi kesan signifikan tehadap punca-punca stres dikalangan pentadbir sekolah menengah di Missouri. Menurut Morris dalam Sazali Nordin (1997) juga melaporkan pengalaman kerja kurang daripada tiga tahun mengalami stres yang paling rendah kerana mereka mempunyai daya untuk bersaing mengikut perubahan. Bagaimanapun terdapat percanggahan dalam kajian Sullivan dalam Mohd Sazali Nordin (1997) melaporkan tiada perbezaan tahap stres di kalangan pensyarah fakulti, pentadbir dan staf sokongan di Universiti Mid-Western dari segi pengalaman kerja.
1.5.3 Kajian Lepas Tahap Pencapaian Akademik (xbuat lagi)
1.6 Pendekatan teori
Pendekatan teori merupakan elemen yang sangat penting dalam menjalankan kajian atau penyelidikan terutamanya kajian kolerasi dan eksperimental. Mengikut Baron Byrne dan Johnson (1998), teori dapat membantu menjawab persoalan kenapa sesuatu fenomena berlaku, membantu memerihalkan tingkah laku sosial dan sebagai satu method saintifik. Selain itu teori yang digunakan adalah sebagai panduan dan rujukan dalam kajian ini.
1.6.1 Teori Kecerdasan Emosi
Konsep EQ atau kecerdasan emosi adalah konsep kecerdasan yang lebih luas dan ada kaitan dengan kesedaran ke atas emosi dan perasaan serta bagaimana perasaan dapat berinteraksi dengan kecerdasan mental atau IQ. (Mohd. Azhar, 2004). Mayer dan Salovey pada tahun 1990 telah membawa dimensi baru dalam penilaian pendidikan dengan memperkenalkan istilah kercerdasan emosi (EQ) kepada dunia. Ini menyebabkan ramai pakar mengatakan kegiatan manusia tidak hanya bergantung kepada kecerdasan intelek(IQ) seseorang dan keputusan yang mereka buat dalam banyak perkara juga bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ) yang dimiliki.
Bar-On (1996), mendefinisikan model emotional intelligence yang diperkenalkannya sebagai satu keupayaan yang berkaitan emosi dan pengetahuan sosial yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk menghadapi cabaran persekitarannya dengan berkesan. Model kecerdasan emosi merangkumi lima aspek utama, iaitu:
i) Kesedaran terhadap diri (Self-awareness).
ii) Keupayaan mengurus emosi diri (Self-regulation).
iii) Motivasi (Motivation)
iv) Empati (Empathy).
v) Hubungan sosialsosial (Social skills).
i. Kesedaran Terhadap Diri (Self-awareness)
Kesedaran terhadap diri atau sedar emosi kendiri bermakna kebolehan mengawal diri (perasaan) dalam sesuatu situasi. Kebolehan ini seterusnya dapat membantu individu untuk membuat keputusan yang kongruen dengan pegangan atau nilai dirinya. Secara tidak langsung ia juga membolehkan seseorang individu itu membuat penilaian yang realistik. Individu yang memiliki kelebihan ini akan sentiasa menyedari kekuatan dan kelemahan dirinya, bersikap terbuka apabila menerima maklumbalas daripada orang lain dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman yang dilalui. Keyakinan diri pula adalah satu sifat keberanian yang datang dengan penuh kepastian hasil daripada keupayaan terhadap kesedaran kendiri iaitu kebolehan, nilai dan matlamat diri

ii. Keupayaan Mengurus Emosi Diri (Self regulation)
Keupayaan untuk mengawal emosi diri sebenarnya terbina atas sebab kesedaran terhadap diri, penglahiran emosi dan niat. Individu yang dapat mengawal emosinya mampu melaksanakan sesuatu tugas dengan mudah. Seseorang individu itu harus sentiasa berhati-hati dan mengelakkan sikap mudah berpuas hati dalam mengejar sesuatu matlamat. Keupayaan mengurus emosi juga membantu individu memulihkan kesedihan emosi dengan berkesan. Dengan itu individu yang berjaya mengurus emosi diri akan cepat bebas daripada kitaran emosi yang kritikal.

iii. Motivasi(Motivation)
Motivasi diri merujuk kepada kecenderungan emosi yang menggerak dan memandu ke arah pencapaian matlamat. Motivasi juga membantu kita mengambil inisiatif dan berusaha untuk memajukan diri serta tabah dalam menghadapi kesedihan dan kekecewaan. Individu yang tinggi tahap motivasinya lebih mudah dalam membuat sesuatu penilaian yang realistik dan tidak mudah berputus asa.

iv. Empati(Empathy)
Satu kebolehan seseorang itu mengenali dan memahami emosi orang lain dan boleh memberi pertimbangan sewajarnya terhadap mereka. Orang lain jarang mempamerkan gangguan emosi yang dialami secara terus terang. Selalunya ia dapat disedari melalui isyarat-isyarat emosi seperti perubahan nada suara dan ekspresi wajah. Kebolehan individu merasai situasi-situasi emosi ini telah membangkitkan kesedaran emosi diri dan keupayaan mereka menguruskan situasi emosi ini. Perasaan empati ini akan memudahkan seseorang individu menjalin perhubungan dengan individu lain.

v. Kemahiran Sosial (Social Skill) Kemahiran sosial melibatkan kebolehan mengurus emosi orang lain dalam perhubungan dengan berkesan dan sentiasa bersedia dengan situasi-situasi sosial serta interaksi yang mesra dengan orang lain. Kemahiran ini juga memberi kelebihan kepada seseorang itu dari segi memujuk, berunding dan menyelesaikan perbalahan dengan individu lain supaya kerjasama secara berpasukan dapat di wujudkan. Individu yang dapat menguasai kemahiran ini akan mencapai kepuasan dalam perhubungan sosialnya dan beroleh kejayaan dalam bidang yang diceburinya.


1.7 Kerangka kajian

Kajian ini bertujuan untuk melihat hubungan antara tiga pemboleh ubah utama iaitu kecerdasan emosi dan tekanan menjalani latihan serta pencapaian akademik. Pemboleh ubah bebas ialah kecerdasan emosi (Dimensi menyedari emosi sendiri, mengawal emosi sendiri, motivasi diri, mengetahui emosi orang lain dan hubungan sosial), tekanan kerja dan demografi (tahun pengajian). Sementara pembolehubah terikat ialah pencapaian akademik. Kesemua pemboleh bebas dan terikat serta dimensi-dimensi kecerdasan emosi juga akan dilihat perbezaan dan hubungan berdasarkan faktor demografi pegawai kadet PALAPES Universiti Malaysia Sabah (UMS). Rajah 1.1 menerangkan hal ini dengan lebih lanjut lagi.
Kecerdasan Emosi
Ø Menyedari emosi sendiri
Ø Mengawal emosi kendiri
Ø Motivasikan diri
Ø Menyedari emosi orang lain
Ø Hubungan sosial
Tekanan menjalani latihan
Demografi (tahun pengajian)
Pencapaian akademik




1.8 Definisi Konsep

Bahagian ini menerangkan tentang konsep-konsep pembolehubah yang dikaji seperti kecerdasan emosi, tekanan menjalani latihan, dan pencapaian akademik dengan lebih detail. dan definasi operasionalnya berkaitan dengan item-item dalam soal selidik yang digunakan dalam kajian ini.
1.8.1 Konsep kecerdasan emosi.
Kesedaran baru berkenaan pentingnya kecerdasan emosi mencetuskan begitu banyak kajian mengenai emosi manusia. Menurut Mohd. Azhar Abdul Hamid ( 2004),” Manusia yang pintar dan bijaksana pada dekat ini bukan sahaja memiliki IQ yang tinggi malah EQ juga tinggi. Tanggapan ke atas kepintaran kognitif sebagai lambang kepintaran dan kebijaksanaan seseorang sudah dianggap sebagai kurang relevan khususnya pada zaman komunikasi maklumat ini.”
Goleman (1998) melalui adaptasi model EQ oleh Mayer dan Salovey mendapati bahawa EQ sangat penting dan berguna untuk memahami bagaimana setiap kemahiran ini berperanan dalam sesuatu bidang pekerjaan. Sehubungan itu Goleman mendefinisikan kecerdasan emosi sebagai keupayaan dan mengenalpasti emosi diri orang lain untuk memotivasikan diri dan mengurus emosi dalam perhubungan berkesan.
Bar-On (1996), mendefinisikan model emotional intelligence yang diperkenalkannya sebagai satu keupayaan yang berkaitan emosi dan pengetahuan sosial yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk menghadapi cabaran persekitarannya dengan berkesan. Model kecerdasan emosi merangkumi lima aspek utama, iaitu kesedaran terhadap diri (Self-awareness) keupayaan mengurus emosi diri (Self-regulation),Motivasi (Motivation) Empati (Empathy) dan Hubungan sosialsosial (Social skills).
EQ merupakan ‘elemen penting untuk mewujudkan keadaan kerja yang produktif. Ia bukan sahaja ’ baik’ terhadap orang lain, tetapi juga berhadapan dengan mereka dengan cara yang penuh konstruktif apabila sesuatu masalah timbul (Smigla & Pastoria, 2000). Pada dekad yang lampau, kemungkinan para pengurus rnengabaikan perasaan ini merupakan perkara lumrah apabila pekerja disuruh ‘meninggalkan’ emosi masing-masing di rumah dan menurut segala arahan yang diberi oleh pengurus. Namun demikian, perubahan persekitaran tempat kerja dan kewujudan pekerja berpengetahuan telah menyebabkan fenomena tersebut tidak lagi berkekalan.
Menurut Golemen (1995) juga, tahap kecerdasan emosi seseorang individu adalah merupakan faktor utama kepada penentuan kejayaan seseorang individu, terutamanya pelajar. Dalam bukunya, Emotional Intelligence, Golemen (1995) berpendapat bahawa kecemerlangan seseorang individu adalah bergantung kepada 20% daripada kecerdasan intelek dan 80% lagi adalah bergantung kepada pengurusan emosi secara berkesan. Ini jelas menunjukkan bahawa tahap “pengurusan emosi” yang baik adalah faktor yang amat dititkberatkan dalam kehidupan seseorang individu yang berjaya (Zainuddin, 2000).
Emosi yang tidak stabil akan menjadikan seorang itu gelisah, tertekan, lalu tidak dapat berfikir dan bertindak secara rasional. Ini akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat memberi tumpuan dan tidak boleh melakukan kerja dengan baik, sukar tidur, kurang selera makan sehingga menjejaskan produktiviti individu itu sendiri, organisasi atau tempat bekerja dan seterusnya produk negara.
Menurut Mohd. Azhar (2004), berlaku konflik apabila seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah menyebabkan mereka kurang peka dengan persekitaran dan perasaan orang lain yang berada di sisi mereka. Begitu juga pada perasaan diri sendiri, mereka tidak tahu kemahuan diri sendiri maupun mengawal diri semasa bekerja atau berhubung dengan orang lain.
1.8.2 Konsep tekanan menjalani latihan
Tekanan menjalani latihan ditakrifkan sebagai reaksi fisiologi dan psikologi yang berlaku apabila seseorang khususnya individu yang sering menjalani latihan terutamanya latihan lasak mengalami fenomena ketidakstabilan atau ketidakseimbangan di antara tahap permintaan yang dikenakan ke atas dirinya dengan keupayaan untuk memenuhi permintaan berkenaan. Bruno (1990) menegaskan bahawa tekanan merupakan satu sistem desakan secara dalaman, organik atau psikologi yang menyebabkan keselesaan. Ini bermakna apabila seseorang itu mengalami tekanan dalam sebarang pekerjaannya sudah pastilah penumpuan terhadap sesuatu bidang perkerjaan itu tidak dapat dilakukan.
Sehubungan dengan itu menurut Ali Murut Sunbul (2003), menyatakan tekanan juga adalah berpunca dari seseorang berasa putus asa dengan kerja-kerja di luar jangkaannya dan kurang pengawalan personal dari pihak atasan. Manakala, Abdul Aziz Yusof (2003) menyatakan tekanan akan timbul apabila berdepan dengan kerja yang terlalu banyak untuk dilakukan, sebaliknya berdepan dengan masa yang terlalu singkat serta disokong pula dengan sumber yang amat terhad.
1.8.3 Konsep pencapaian akademik.
Pencapaian akademik adalah prestasi iaitu merupakan ‘satu tingkat perolehan yang dinilai oleh guru’ (Chaplin, 1989). Pencapaian secara umumnya adalah sesuatu hasil yang telah dicapai. Menurut Wolman (1973) akademik adalah berkaitan dengan hal-hal pendidikan formal dan prestasi pula merujuk kepada tingkat kecekapan yang dicapai dalam bidang akademik ataupun dalam sistem pembelajaran formal. Dengan itu prestasi akademik merujuk kepada tingkat kecekapan pendidikan formal yang melibatkan sukatan-sukatan pelajaran yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan. Mengikut Kerlinger (1973) pula, prestasi akademik didefinisikan sebagai skor ataupun gred yang dicapai oleh seseorang pelajar dalam sesuatu ujian atau peperiksaan umum.
1.8.4 Konsep PALAPES
PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau ROTU (Reserve Officer Training Unit). Penubuhan PALAPES mula diusahakan oleh Brig Jen Dato’ Abul ‘As bin Ismail, Pengarah Askar Wataniah dalam tahun 1979. Beliau telah berusaha menemui Naib-Naib Canselor universiti dan Pengarah ITM @UiTM ketika itu bagi merealisasikan idea penubuhan pasukan ini. Kerjasama erat dan persetujuan antara IPTA, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan telah membuka era baru dalam sejarah pertahanan negara.

PALAPES telah ditubuhkan secara rasmi di tiga belas buah IPTA. Penubuhan PALAPES adalah berasaskan kepada Peruntukan Perundangan iaitu Akta Angkatan Tentera 1972 Seksyen 196 yang memberi kuasa kepada MAT untuk menubuhkan Pasukan-Pasukan Sukarela. Program PALAPES adalah satu usaha diantara pihak ATM dan IPTA-IPTA yang berkenaan. Kejayaan PALAPES bergantung kepada kesediaan, kesanggupan dan komitmen semua pihak iaitu pihak IPTA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan kementerian pengajian tinggi dalam memainkan peranan masing-masing.





1.9 Definisi Operasional
Definasi operasional dalam kajian ini ialah berkaitan dengan item-item pembolehubah yang dikaji iaitu kecerdasan emosi, tekanan menjalani latihan dan tahap pencapaian akademik yang terdapat dalam soal selidik yang digunakan dalam kajian ini.
1.9.1 Kecerdasan Emosi
Dalam kajian ini kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan individu menyedari emosi dirinya, mengawal emosi dirinya, memotivasikan diri, mengetahui emosi orang lain dan kebolehan berhubung dengan orang lain. Sehubungan dengan itu kajian ini adalah untuk mengkaji tahap kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan kemahiran intrapersonal dan interpersonal dalam mengenali dan mengurus emosinya dan orang lain. Namun kecerdasan emosi merupakan sesuatu yang tidak kekal dan sering berubah-ubah.

1.9.1 Tekanan Menjalani Latihan
Dalam kajian ini tekanan menjalani latihan difokuskan kepada empat faktor yang membawa tekanan di tempat menjalani latihan iaitu faktor yang menyentuh isu hubungan intrapersonal, isu permintaan, isu peranan dan isu kepimpinan. Soalan yang bertemakan tentang tekanan menjalani latihan adalah seperti di dalam soal selidik di bahagian C di Lampiran A.

1.9.2 Tahap Pencapaian Akademik.
Dalam kajian ini, pencapaian akademik adalah pencapaian pelajar semasa peperiksaan semester yang terkini. Keputusan peperiksaan dikira dalam bentuk purata nilai gred semester (PNGS) yang diperolehi semasa peperiksaan yang dijalankan pada setiap semester. Pengkaji memilih untuk melihat keputusan PNGS dan bukannya PNGK (purata nilai gred komulatif) subjek kerana subjek tahun satu hanya mempunyai keputusan peperiksaan yang dikira dalam bentuk PNGS.
Tahap pencapaian akademik dalam kajian ini diukur dengan merujuk kepada Prospektus Prasiswazah 2008-2009 bagi tujuan pengurniaan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian mengikut kelas. Namun dalam kajian ini hanya dua tahap yang digunakan iaitu subjek yang mendapat PNGS 3.0 hingga 4.0 dikategorikan sebagai tahap pencapaian akademik tinggi dan PNGS 2.9 ke bawah dikategorikan sebagai tahap pencapaian akademik yang rendah.

1.9.3 PALAPES
Dalam kajian ini, Program PALAPES merujuk kepada pelajar-pelajar yang menyertai Program PALAPES DARAT di Universiti Malaysia Sabah. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan dari tahap junior sehinggalah tahap senior. Pelajar-pelajar atau pegawai kadet terdiri daripada mereka yang mengambil pelbagai jurusan yang ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah dan berbeza latar belakang.
1.10 Hipotesis

Hipotesis ialah suatu ramalan atau pernyataan tentang keputusan atau hasil dapatan kajian yang dijangkakan akan diperolehi (Jack & Norman, 1996). Dalam kajian ini terdapat beberapa hipotesis yang digunakan oleh pengkaji bagi menyatakan tentang keputusan kajian yang dijangkakan akan diperolehi menerusi kajian ini. Hipoetsis-hipotesis ini adalah seperti berikut:
i) Ho1= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kecerdasan emosi dimensi menyedari emosi sendiri dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
ii) Ho2= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kecerdasan emosi dimensi mengawal emosi sendiri dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
iii) Ho3= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kecerdasan emosi dimensi motivasi diri dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
iv) Ho4= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kecerdasan emosi dimensi mengetahui emosi orang lain dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
v) Ho5= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap kecerdasan emosi dimensi hubungan sosial dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
vi) Ho6= Tidak erdapat perbezaan yang signifikan tahap tekanan kerja dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
vii) Ho7= Tidak terdapat perbezaan yang signifikan komitmen kerja dalam kalangan kadet PALAPES dari segi tahun pengajian.
viii) Ho8= Tidak terdapat hubungan yang signifikan kecerdasan emosi dimensi menyedari emosi sendiri dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.
ix) Ho9= Tidak terdapat hubungan yang signifikan kecerdasan emosi dimensi mengawal mengawal emosi sendiri dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.
x) Ho10= Tidak terdapat hubungan yang signifikan kecerdasan emosi dimensi motivasi diri dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.
xi) Ho11= Tidak terdapat hubungan yang signifikan kecerdasan emosi dimensi megetahui emosi orang lain dengan pencapaian akdemik dalam kalangan kadet PALAPES.
xii) Ho12= Tidak terdapat hubungan yang signifikan kecerdasan emosi dimensi hubungan sosial dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.
xiii) Ho13= Tidak terdapat hubungan yang signifikan tekanan menjalani latihan mingguan dengan pencapaian akademik dalam kalangan kadet PALAPES.


LT MUDA MUHAMAD ROSLAN BIN SAAD

6 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

thanks fot the info. . :)

Unknown said...

Assalam....mohon admin dapat membantu dengan soalan saya....saya sedang membuat esei yang bertajuk “MENGAPA ANGGOTA TENTERA LLP PERLU MENGHORMATI PEGAWAI DALAM KEADAAN TABIK” contohnya tidak seperti kita menghormati PTT kanan atau pun orang lain...mohon admin dapat membantu saya dengan menghuraikan maksud tersebut...sekian terima kasih.

dinie said...

assalamualaikum admin,sye pelajar upnm dan sye kne bwat assignment psal konflik management.tjuk yg diberikn ialah mengenai kecerdasan emosi terhadap ketenteraan..sye dh search tp byk yg berkaitan dgn civilian je..bleh x mohon post link yg berkaitan...tenx..

Laola Wawa said...

Assalammualikum, boleh saya tahu apakah Kajian Literatur admin dalam kajian ni?

silah said...

Tajuk yang sama untuk latihan ilmiah sya tuan, dan saya juga adalah junior tuan batch 22 (darat). terima kasih atas infonya.