Tuesday, June 21, 2011

ADAKAH SESEORANG MEMPUNYAI HAK UNTUK MENGAMBIL NYAWANYA SENDIRI.
Pembunuhan merupakan sesuatu tindakan yang ditakuti oleh setiap manusia. Ini kerana pembunuhan menyebabkan seseorang itu tidak dapat meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Walau bagaimanapun terdapat juga individu atau manusia yang sanggup membunuh dirinya sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan membunuh diri? Manusia merupakan satu-satunya makhluk di muka bumi ini yang sanggup membinasakan dirinya sendiri atau membunuh diri sendiri. Membunuh diri merupakan satu perbuatan yang sengaja dilakukan untuk memusnahkan diri sendiri tanpa melibatkan individu lain. Berbagai-bagai alasan telah diberikan oleh mereka yang melakukan tindakan yang tidak bermoral ini antaranya untuk tidak menyusahkan orang lain, untuk membebaskan diri dari segala kesengsaraan yang sedang mereka alami sekarang, dan sebab yang pailing utama ialah kerana individu ini tidak sanggup berdepan dengan masalah-masalah yang dihadapinya. Selain itu ada juga individu yang beranggapan dengan membunuh diri mereka boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik setelah mereka mati kelak. Persoalannya disini, kenapakah manusia membunuh diri dan adakah tidakan mereka bermorol dari segi etika? Walaupun pelbagai alasan yang diberikan, dalam esei ini saya berhujah bahawa seseorang tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawanya sendiri.
Bagaimanakah perbuatan membunuh diri dilakukan? Berbagai-bagai cara yang digunakan oleh seseorang sama ada untuk membunuh diri atau percubaan membunuh dirinya sendiri. Cara yang paling banyak dilakukan oleh seseorang untuk membinasakan diri sendiri ialah dengan menggantung diri. Seterusnya diikuti dengan terjun dari tempat tinggi dan meminum bahan yang beracun. Tindakan-tindakan ini bukan sahaja dianggap tidak beretika malahan ia juga telah melanggar ketetapan yang ditetapkan oleh mana-mana agama. Setiap agama umumnya melarang umatnya atau penganutnya melakukan tindakan tidak bermoral ini seperti membunuh diri sendiri. Dalam agama islam, jika seseorang melakukan tindakan kejam terhadap diri sendiri akan terhalang seseorang itu daripada mendapat rahmat Allah s.w.t dan akan mendapat kemurkaan Allah di akhirat kelak. Hal ini jelas menunjukkan perbuatan membunuh diri bukan sahaja salah dari segi etika malahan ia turut salah dari segi agama kerana telah menggangu ketentuan takdir.
Kenapakah seseorang tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawanya sendiri? Seseorang tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawanya sendiri kerana nyawa merupakan satu pemberian dan anugerah yang diberikan oleh tuhan kepada hambanya. Setiap individu hanya mendapat satu nyawa sahaja yang diberikan oleh tuhan kita. Tujuan pemberian nyawa oleh tuhan kepada setiap insan atau manusia ialah bagi membolehkan manusia menikmati dan berfikir segala kebesaran dan ciptaanNya selain menjadi khalifah atau pemimpin di muka bumi ini. Jika seseorang individu menggambil nyawanya sendiri, ini bermakna seseorang itu tidak bersyukur dan tidak menghargai pemberian yang diberikan oleh tuhanNya. Seseorang individu harus sedar bahawa pemberian yang diberikan oleh tuhan kita hanyalah bersifat sementara dan pemberian ini akan diambil balik pada bila-bila masa. Kita juga harus sedar, jika kita menggambil nyawa kita sendiri bermakna kita telah mengkhianati pemberian yang diberikan oleh tuhan kita dan tindakan ini merupakan sesuatu perbuatan yang tidak beretika bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada tuhan kita. Setiap manusia dipertanggungjawabkan untuk menjaga tubuh badannya supaya selamat dan sihat. Manusia diamanahkan oleh Tuhan untuk menjaga tubuh badan dengan sempurna dan tidak memudaratkan diri. Dalam islam Allah s.w.t melarang keras manusia menamatkan hidupnya dengan diri sendiri. Ini menunjukkan tuhan kita amat menyanyagi hambaNya walaupun kadang-kadang kita diuji dengan pelbagai dugaan. Setiap agama melarang penganutnya melakukan tindakan membunuh diri dan menganggap perbuatan ini jika dilakukan dengan apa cara sekalipun merupakan satu tindakan yang diharamkan oleh tuhan kita.
Seseorang individu harus sedar, kehidupan kita di muka bumi ini penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang diberikan tuhan kepada hamba-hambanya untuk menilai tahap kesabaran dan keimanan hambanya dalam menghadapi dugaanNya. Dugaan dan cabaran yang diberikan oleh tuhan boleh berlaku dalam jangka masa panjang dan berlaku dalam jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, dugaan dan cabaran yang diberikan tuhan bukan bertujuan untuk menzalimi hambanya. Dugaan dan cabaran yang diberikan tuhan merupakan satu penilaian tuhan yang diberikan kepada hambanya untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran dalam menempuh kehidupan di dunia ini. Seseorang harus sedar perbuatan memusnahkan diri sendiri bukan sahaja menzalimi diri sendiri malahan ia turut mengundang masalah kepada masyarakat sekeliling terutamanya kaum keluarga bagi pembunuh diri yang berkeluarga. Ini kerana setelah salah seorang dari ahli keluarga yang melakukan tindakan membunuh diri sendiri, maka secara tidak lansung ahli keluarga yang lain turut mendapat pandangan yang negatif dari masyarakat setempat. Jika pembunuh diri melakukan tindakan membunuh diri atas alasan tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain, ia juga merupakan satu perbuatan yang salah. Ini kerana perbuatan sebegini dianggap sebagai perbuatan yang tidak menghormati diri sendiri. Setiap cabaran dan dugaan yang diberikan tuhan mempunyai hikmah di sebaliknya. Setiap agama mengkehendaki setiap umatnya selalu optimis dalam menghadapi setiap musibah yang berlaku. Bagi mereka yang beragama islam, mereka harus sedar bahawa islam tidak membenarkan dalam situasi apa pun untuk melepaskan diri dari hidup dengan jalan singkat. Adakah dengan tindakan membunuh diri dapat mengatasi semua masalah dan tamat semua penderitaan yang dialami? Setiap idndividu muslim harus sedar kehidupan dalam islam bukan khusus di dunia fana sahaja malah kehidupan yang seterusnya di alam akhirat yang masih jauh. Sehubungan itu tindakan membunuh diri bukanlah langkah yang bijak dalam islam, sebaliknya mendatangkan kecelakaan yang lebih berat kepada ruh individu yang melakukan tindakan membunuh diri di alam akhirat nanti.


Mungkin dari logiknya setiap individu mempunyai hak ke atas dirinya sendiri. Dia berhak dan bebas melakukan apa-apa perkara yang disukainya ke atas dirinya sendiri. Namun begitu, setiap individu harus sedar dan berfikir dimanakah tanggungjawabnya sebagai manusia atau makhluk tuhan di muka bumi ini. Tanggungjawab di sini bukan sahaja kepada dirinya, malah tanggungjawab kepada maysrakatnya, agamanya malah kepada negaranya. Setiap inidividu harus sedar bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan tuhan dan sebaik sahaja kita dilahirkan ke dunia ini, kita berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab sehinggalah ke akhir hayat kita iaitu masa yang tidak diketahui oleh setiap insan. Semakin lama hayat seseorang maka semakin banyak tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dan harus ia laksanakan. Jika kita melakukan tindakan membunuh diri sendiri sebelum ajal kita bermakna kita telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada kita.
Seperti yang kita ketahui individu yang melakukan tindakan membunuh diri merupakan seorang individu yang mempunyai penghargaan kendiri yang rendah dan berfikir secara tidak waras. Jika seseorang berkeinginan untuk membunuh diri, individu tersebut hendaklah melihat kepada kelebihan dan keburukan sebelum dia melakukan tindakan membunuh diri. Dia harus memikirkan perkara-perkara yang akan belaku setelah dia membunuh diri. Kita percaya setiap agama telah memberikan panduan dan petunjuk kepada penganutnya jikalau berlaku sebarang masalah dan musibah. Contohnya dalam agama islam beberapa panduan dan pendekatan yang boleh digunakan oleh umat islam untuk mengurangkan tekanan dan musibah antaranya memohon pertolongan daripada Allah dengan cara berdoa, sembahyang, berzikir dan memperbanyakkan membaca ayat suci al-quran. Harus diingat setelah seseorang melakukan tindakan membunuh diri sendiri bermakna nyawa yang dimilikinya akan hilang buat selamanya dan ia tidak akan dikembalikan. Apabila seseorang telah bertindak melakukan kekejaman terhadap dirinya dan mati akibatnya, ia akan dibangkitkan di akhirat kelak seperti mana ia lakukan.
Terdapat juga alasan individu yang melakukan tindakan membunuh diri adalah kerana inginkan kehidupan yang lebih baik setelah ia mati. Tanggapan sebegini sebenarnya salah dan tidak masuk akal kerana seperti yang kita ketahui, kita tidak boleh melihat masa depan atau perkara yang akan berlaku ke atas diri kita pada masa hadapan. Jika kita boleh melihat perkara-perkara yang akan berlaku ke atas diri kita pada masa hadapan, ini amat mudahlah bagi kita untuk mengubah perkara yang kita tidak ingini. Walau bagaimanapun kita hanya boleh merancang perkara-perkara yang akan kita lakukan tetapi ketentuan setiap perkara yang kita rancang adalah ditentukan oleh tuhan kita. Pemikiran yang kotor harus dielakkan oleh setiap individu kerana kehidupan kita di dunia yang mencabar ini banyak menghasilkan penderitaan dan tekanan perasaan. Antara punca tekanan yang dialami oleh individu ialah berlakunya kegagalan dan konflik dalaman.

Kesimpulannya apa pun alasan yang diberikan oleh individu yang melakukan atau ingin melakukan tindakan membunuh diri merupakan satu perbuatan yang tidak beretika dan melanggar hak-hak bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada masyarakat dan negara. Selain itu, perbuatan membunuh diri menyebabkan individu tersebut mengalami kerugian yang amat besar kerana telah mensia-siakan peluang untuk hidup yang diberikan oleh tuhan kita.

No comments: