Sunday, November 27, 2011

PEMEROLEHAN PENGETAHUAN, KEMAHIRAN DAN RUMUSAN SEMASA MENJALANI LATIHAN INDUSTRI

BAB 3 : PEMEROLEHAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN

3.1 Perancangan
Sepanjang menjalani latihan praktikum di organisasi, beberapa pemerolehan pengetahuan dan kemahiran yang dapat diperolehi serta dimantapkan oleh pelajar. Perancangan adalah salah satu pemerolehan yang dapat diperolehi oleh pelajar sepanjang menjalani latihan praktikum. Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah banyak memberi input berkaitan dengan perancangan sama ada perancangan masa, tempat dan sebagainya. Ini dapat dilihat melalui perancangan aktiviti-aktiviti terutamanya melibatkan aktiviti psikologi dan kaunseling yang dijalankan kepada pelatih PLKN. Tanggungjawab yang diberikan kepada pelajar untuk merekodkan aktiviti permentoran yang dijalankan oleh Cawangan Psikologi dan Kaunseling JLKN, secara tidak langsung memberi pendedahan kepada saya mengenai aktiviti yang hendak dijalankan memerlukan perancangan yang teliti.

Selain itu, kesempatan yang diberikan kepada pelatih untuk melawat beberapa kem PLKN yang menjalankan program mentor mentee menunjukkan perancangan yang teliti akan menghasilkan input yang positif. Semasa melaksanakan tugasan yang diberikan, saya telah merancang perjalanan aktiviti dengan baik dibantu oleh beberapa orang kakitangan di organisasi. Selain daripada bantuan kakitangan, saya juga meminta pertolongan rakan-rakan serta penyelaras latihan praktikum berkenaan tugasan yang diberikan. Oleh yang demikian, perancangan yang teliti akan membuahkan hasil yang sempurna. Segala perjalanan program serta tugasan yang diberikan dapat berjalan dengan lancar.
Dalam kehidupan seharian sepanjang menjalankan latihan praktikum, saya juga memerlukan perancangan yang sempurna supaya setiap perjalanan dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung tugasan yang diberikan, saya akan segera mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak-pihak yang berkenaan supaya perancangan serta keputusan yang dibuat adalah wajar dan berkesan. Latihan praktikum memberi banyak pengetahuan serta kemahiran merancang sesuatu tugasan dengan lebih baik. Saya dapat memantapkan lagi kemahiran merancang yang sedia ada serta dapat memperbaiki segala kekurangan dalam perancangan.
Oleh itu, latihan praktikum wajar dijalankan kerana ia membantu pelajar itu sendiri khasnya, serta dapat membantu banyak pihak umumnya. Melalui latihan praktikum ini juga, pelajar dapat kemahiran serta pengetahuan melalui latihan sepanjang praktikum serta kajian yang dijalankan semasa menjalani latihan tersebut.

3.2 Kepimpinan
Kepimpinan adalah salah satu aspek yang telah dipelajari semasa menjalani latihan praktikum di agensi ini. Pendedahan kepada pelajar semasa menjalankan lawatan ke kem PLKN secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepimpinan terutamanya kepada golongan belia. Selain itu, melalui penugasan yang diberikan dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan kepada saya.

Kemahiran kepimpinan dapat saya pelajari dengan kakitangan serta pegawai membantu sedikit sebanyak dalam urusan seharian dan dalam kajian yang saya jalankan. Gaya kepimpinan yang saya pelajari dapat aplikasikan dalam menjalankan kajian iaitu semasa meminta responden untuk mengisi soal selidik. Dengan kemahiran yang saya lihat dari kakitangan agensi, ia dapat membantu saya memudahkan penerangan berkaitan soal selidik serta dapat menjimatkan masa.
Selain itu, kepimpinan yang dapat diperhatikan di dalam organisasi adalah lebih kepada kepimpinan demokratik. Kakitangan di agensi juga berpeluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing serta menjalankan mesyuarat untuk mendapatkan keputusan bersama. Kaedah kepimpinan ini adalah suatu yang baik diamalkan dalam sesebuah agensi atau organisasi bagi memantapkan serta meningkatkan produktiviti.
Oleh yang demikian, kepimpinan yang sesuai amat penting dalam sesebuah organisasi. Kepimpinan juga menentukan hala tuju kemajuan serta kejayaan sesebuah organisasi.

3.3 Pengurusan
Pengurusan juga merupakan pemerolehan dan kemahiran yang dapat dipelajari semasa pelajar menjalani latihan praktikum di agensi. Pengurusan yang sempurna dapat dilihat dari hasil perjalanan sesuatu perancanga dengan lancar. Sekiranya pengurusan tidak berjalan dengan baik, ini akan memberikan kesan terhadap beberapa aspek penting dalam sesebuah organisasi.

Pengurusan yang sistematik amatlah penting bagi memastikan tidak wujud masalah seperti salah faham atau kegagalan berkomunikasi. Pengurusan yang sistematik juga saya pelajari sepanjang menjalani latihan praktikum dan dapat diaplikasi dalam pengurusan masa serta pembahagian tugasan serta kerja. Oleh kerana, pelajar disuruh menjalankan mini kajian semasa latihan praktikum, pelajar perlu bijak mengurus keadaan, masa serta tugasan dengan sempurna.

Ini adalah bertujuan untuk tidak membebankan pelajar dengan tugasan yang diberikan. Dengan menjalankan latihan praktikum serta menjalankan mini kajian, ia dapat membimbing pelajar untuk menjadi pengurus yang baik dari pelbagai bidang dan aspek dalam kehidupan serta organisasi. Sebagai contoh adalah setiap urusan perlu mengikut format atau aliran yang telah ditetapkan. Ini adalah untuk menyenangkan semua pihak. Selain itu, terdapat beberapa pengurusan seperti pengemaskinian fail dan pengurusan masa.

Kesimpulannya, pengurusan yang sistematik amat penting bagi memastikan kesemua aktiviti atau program berjalan dengan lancar. Tanpa pengurusan yang bijak, sesuatu program yang akan dijalankan itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkemungkinan besar program yang dijalankan tidak mencapai objektif seperti yang diharapkan.
3.4 Kawalan
Bagi memastikan setiap perancangan berjalan sebagaimana yang dirancang, kawalan adalah salah satu aspek yang dapat mengimbangi keseluruhan perjalanan. Sekiranya perancangan tiada kawalan yang sempurna, pelbagai masalah yang boleh wujud.

Kemahiran serta pengetahuan berkaitan dengan kawalan dapat dipelajari semasa menjalani latihan praktikum di agensi ini. Kawalan merangkumi pelbagai aspek antaranya adalah kawalan dari segi perjalanan program, aktiviti, penyertaan, kewangan serta lain-lain lagi.

Melalui kawalan juga, program yang dijalankan akan mencapai objektif dan memberi kesan yang positif kepada semua pihak. Sebagai semasa menjalankan aktiviti pementoran, setiap jurulatih kem berusaha untuk memaparkan perancangan, kepimpinan dan melakukan pengurusan dengan baik dengan bantuan kaunselor yang ditempatkan di setiap zon. Hasilnya, program pementoran tersebut telah berjalan dengan jayanya. Di sini dapat dilihat, individu perlu memahami tugas yang diamanahkan dan kawalan dari pihak diperlukan bagi menjayakan program yang dijalankan.

Kesimpulan, saya telah mempelajari beberapa kemahiran kawalan yang dapat membantu diri sendiri terutamanya berkaitan kawalan terhadap pelaksanaan sesuatu program.


Bab 4: Rumusan dan Cadangan
PENILAIAN
Kekuatan Organisasi Menjalankan Program.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan mempunyai kekuatan tersendiri dimana pelaksanaan program adalah secara sistematik untuk melatih remaja Malaysia supaya mereka menjadi generasi pewaris yang lebih cemerlang dari generasi hari ini. Perlaksaan latihan secara ‘experiential learning’ dan mengutamakan semangat muhibah diantara pelatih-pelatih di kem selama tiga (3) bulan dapat malahirkan remaja Malaysia yang lebih berdisiplin, besemangat waja, berkeyakinan diri, setia kepada Negara, sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran dan dugaan.

Penglibatan remaja dari pelbagai kaum sama ada lelaki atau perempuan yang kebanyakannya remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi nadi kepada kekuatan penubuhan PLKN kerana ia dapat mengelakkan remaja ini daripada melakukan aktiviti tidak sihat dan seterusnya membantu mereka mengenali diri dan mempelajari kemahiran-kemahiran interpersonal dan intrapersonal melalui modul yang dilaksanakan di kem. Selain itu, perlaksanaan modul dalam suasana yang ceria dan bersifat riadah juga dapat memupuk perpaduan kaum, meluaskan pengetahuan mengenai Negara melalui elemen sejarah dan sebagainya. Hal ini, menyebabkan remaja yang mengikuti PLKN dapat menimba ilmu dan pengalaman baru sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, PLKN juga mempunyai keunikan tersendiri dimana perlaksanaan program adalah berteraskan rukun negara dan mempunyai kurikulum ‘multi-disiplin’ tetapi bukan berbentuk kerahan tenaga atau ‘military conscript’. PLKN juga mempunyai imej tersendiri dari segi pakaian seragam, logo dan lagu. Peruntukan kewangan yang agak besar kepada PLKN juga menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membina satu ikatan, iaitu kecintaan kepada ibu pertiwi terhadap bangsa dalam kalangan remaja yang akan mewarisi kepimpinan Negara pada masa hadapan.
Kelemahan Organisasi Menjalankan Program
Kewujudan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mula dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada 16 Februari 2004 adalah permulaan satu agenda nasional untuk melatih remaja Malaysia menjadi generasi pewaris yang lebih cemerlang dari generasi hari ini. Kejayaan program ini banyak bergantung kepada keupayaan jurulatih-jurulatih yang terdapat di kem PLKN. Hal ini kerana jurulatih merupakan individu paling dekat dengan pelatih semasa menjalani latihan di kem. Masalah perjawatan sesetengah jurulatih secara sambilan menyebabkan timbulnya sedikit kelemahan dimana ia boleh menjejaskan pelaksanaan program. Hal ini kerana, jurulatih yang berstatus sambilan kebanyakkan akan meninggalkan kem setelah mereka mendapat pekerjaan yang lain.

Selain itu, kekurangan jurulatih dari kaum selain kaum melayu juga menyumbang kepada kelemahan yang terdapat di organisasi JLKN. Hal ini kerana, PLKN melibatkan penyertaan dari semua kaum yang terdapat di Malaysia. Kekurangan jurulatih dari kaum tertentu, merumitkan pengurusan pelatih terutamanya hal yang melibatkan budaya dan agama. Hal ini kerana terdapat sesetengah kes dimana berlaku salah faham terhadap agama dan budaya dalam kalangan pelatih. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada tujuan asal penubuhan PLKN iaitu untuk memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di Negara ini.
Di samping itu, kekurangan kaunselor di kem PLKN juga menyumbang kepada kelemahan di kem PLKN. Hal ini kerana, sebilangan besar remaja yang menyertai PLKN merupakan remaja yang baru menamatkan alam persekolahan pada peringkat SPM. Hal ini menyebabkan remaja-remaja ini memerlukan bimbingan daripada kaunselor untuk merencanakan masa depan mereka. Selain itu, dengan penempatan kaunselor di setiap kem juga dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku antara pelatih dengan pelatih, pelatih dengan jurulatih dan jurulatih dengan jurulatih.

Cabaran di sepanjang Latihan Praktikum.
Sepanjang menjalani latihan praktikum di Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), saya tidak mengalami sebarang masalah yang merumitkan. Pada permulaan bekerja, saya tertanya-tanya apakah tugas yang harus saya lakukan. Hal ini kerana semasa kedatanagan saya, pihak pengurusan JLKN sedang menguruskan kemasukkan pelatih PLKN kumpulan 2 siri 8/2011. Setelah diberi peneranagn oleh penyelia saya, saya memohon untuk menjalani latihan praktikum di kem. Walaupun mendapat persetujuan daripada pengarah bahagian operasi membenarkan saya untuk bekerja di kem, namun disebabkan kekurangan pegawai psikologi yang boleh menyelia saya, saya hanya di tempatkan di bahagian operasi dibawah penyeliaan penolong pengarah cawangan psikologi dan kaunseling sahaja.
Walaupun saya di tempatkan di bahagian operasi, penyelia saya telah memberikan tugasan kepada saya yang berkaitan dengan psikologi dan kaunseling. Saya telah diminta untuk merangka satu program berkaitan dengan intervensi terhadap pelatih PLKN. Selain itu, saya juga diberi tugasan berkaitan hal-hal pentadbiran seperti membuat surat, memo dan menfailkan laporan-laporan program psikologi dan kaunseling yang dijalankan oleh kem. Tugasan-tugasan ini saya lakukan dengan sebaik mungkin dan mengikut kehendak organisasi. Tugasan-tugasan harian sepanjang menjalani latihan praktikum ini, terdapat dalam laporan penuh dan buku catatan harian.



Cadangan pembaikan organisasi terhadap perlaksanaan PLKN
Bagi penambahbaikan organisasi terhadap perlaksanaan PLKN, saya mencadangkan beberapa perkara yang boleh dikaji atau dinilai oleh pihak pengurusan. Antara cadangan saya ialah mengantikan perjawatan secara sambilan kepada tetap terutamanya bagi jurulatih di kem PLKN dan staf di organisasi JLKN. Hal ini penting bagi memastikan pentadbiran dan perlaksanaan tugas oleh jurulatih dan staf mencapai satu tahap yang dikehendaki selaras dengan tujuan asal penubuhan PLKN. Hal ini kerana, sepanjang permerhatian saya semasa menjalani latihan praktikum di organisasi tuan selama 12 minggu, kebanyakan staf pentadbiran di JLKN adalah berstatus sambilan dan ini menyebabkan kecenderungan mereka untuk mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan adalah tinggi dan secara tidak langsung menggangu urusan pentadbiran dan perlaksanaan tugas sebagai pentadbir dan jurulatih.
Selain itu, pihak pengurusan perlu mendapatkan lebih ramai jurulatih dari kaum selain kaum melayu. Hal ini kerana, pelatih yang menjalani PLKN merupakan remaja yang datang dari pelbagai kaum dan budaya. Kekurangan jurulatih selain dari kaum melayu, sedikit sebanyak mengundang permasalahan terutama sekali yang melibatkan budaya dan agama semasa di Kem. Pihak pengurusan haruslah mencari kaedah yang boleh menarik minat kaum-kaum lain untuk menjadi jurulatih dan sama-sama mengalas tanggungjawab selaras dengan matlamat asal penubuhan PLKN.
Di samping itu, pihak JLKN juga hendaklah menempatkan kaunselor-kaunselor di setiap kem PLKN. Walaupun kini terdapat kaunselor di setiap zon, namun penugasan ini tidak dapat dilakukan oleh seorang kaunselor yang perlu mengenalpasti permasalahan pelatih di setiap kem. Selain itu, dengan penempatan kaunselor di setiap kem, memudahkan pelatih untuk mengadu permasalahan mereka disamping membantu pelatih merancang masa depan mereka. Penempatan kaunselor di kem juga dapat membantu pelatih untuk menguruskan pengajian mereka dan memberi pandangan kepada pelatih yang menjalani latihan.

No comments: